Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15 hari ini. – Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu kecekapan dan prinsip kerja berintegriti jentera kerajaan sentiasa dinilai serta ditingkatkan supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan berjaya.
Menurut Utusan Malaysia, Seri Paduka tidak suka dengan sistem yang banyak ‘red tape’ atau kerenah birokrasi dalam sistem penyampaian kerajaan.
“Oleh itu, kecekapan proses kerja dan tadbir urus mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.
“Agensi penguatkuasaan juga hendaklah menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera.
“Semua kes yang dibawa ke mahkamah mestilah segera diadili supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara sentiasa dipelihara,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menyeru kerajaan meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara terutama bekalan makanan harian serta bahan mentah memandangkan kos import yang semakin tinggi.
Titah Seri Paduka, usaha meningkatkan pengeluaran makanan hendaklah dilaksanakan secara lebih tersusun bagi memastikan tahap jaminan makanan negara mencapai sasarannya.
“Pada masa yang sama, pelbagai program untuk meringankan beban petani, penternak, nelayan dan pengeluar makanan perlu ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada pada tahap tinggi,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka juga menyambut baik kedudukan Malaysia di tangga ke-29 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2023 dalam aspek kecekapan kerajaan dan mengalu-alukan usaha berterusan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan perkhidmatan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan di atas taat setia dicurahkan kepada Seri Paduka dan negara tercinta oleh semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh agensi kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat serta lelah.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua rakyat jelata yang mengekalkan perpaduan yang harmoni, hidup bersatu padu dan berpegang teguh kepada Rukun Negara.
“Akhir kata, marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa agar Malaysia terus maju dan makmur, aman dan damai dan seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera,” titah Seri Paduka.
































