Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15, hari ini. – Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyeru kerajaan merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
Menurut Utusan Malaysia, Seri Paduka memerhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.
“Pepatah Melayu ada menyebut ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu-padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15 hari ini.
Sultan Ibrahim menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara mesti dihormati kerana ia adalah hasil daripada persetujuan Raja-Raja Melayu untuk membentuk Persekutuan dan memberi punca kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang.
“Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan akan terus kekal dipelihara. Namun begitu, agama-agama lain masih dibenarkan untuk diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.
“Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba memutar belit atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka bertitah berpuas hati dengan langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya berharap agar perjanjian yang dimeterai ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan dalam memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama,” titah Sultan Ibrahim.


































