Rudi (berdiri, empat dari kanan) bersama Pasukan Pergerakan Pemuda PBS Moyog muncul juara Perlawanan Bola Sepak Santai Anjuran Pemuda UPKO Penampang.
PENAMPANG: Mencatat empat kemenangan telah melayakkan pasukan Pergerakan Pemuda PBS Moyog untuk muncul juara Perlawanan Bola Sepak Santai 9 Sebelah.
Kejayaan yang begitu bermakna itu membolehkan skuad bimbingan pengurusan pasukan, Rudy J. Jikinon yang juga merupakan Ketua Pemuda PBS Moyog itu membawa pulang hadiah RM500.
Naib johan kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu berpihak pada wakil tuan rumah iaitu Pergerakan Pemuda UPKO Penampang yang juga merupakan penganjur kejohanan.
Tempat ketiga milik Pemuda DAP Sabah dan tempat keempat berpihak pada Pemuda Warisan.
Sebanyak lapan pasukan pilihan di kalangan pemuda parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan berentap pada kejohanan anjuran Pemuda UPKO Penampang dan Persatuan Kebajikan Komuniti Moyog Penampang.
Rudy berkata, pengalaman luas pemain menjadi kelebihan pada pasukan bimbingannya untuk muncul juara kejohanan hari ini yang menjadi pembuka tirai kejuaraan musim ini.
“Gandingan kebolehan dan persefahaman menghasilkan pasukan yang mantap seterusnya mampu menyerlah pada kejohanan yang disertai.
“Pada kejohanan kali ini kita mencatat empat kemenangan. Janji pemain sebelum perlawanan ialah untuk menjulang piala kejuaraan menjadi kenyataan,” katanya.


































