Bagi peminat drama Korea Selatan, isu buli sering kali menjadi penguat sesebuah jalan cerita, Tidak kira bermula di zaman sekolah, alam pekerjaan hatta di suai tua sekali pun, pastu ada kisah buli yang diangkat.
Tidak hairan, drama seperti The Glory, School 2013, Angry Mom dan banyak lagi menjadi fenomena lantaran mengangkat kisah buli yang ‘membakar’ hati sesiapa sahaja yang membuatkan hidup seseorang sengsara.
Namun hakikatnya, pembuli ada di mana-mana. Ada yang bekerjaya besar dan ada juga yang hidupnya merana sehingga membuatkan dia cenderung untuk terus membuli orang lain. Sungguh psiko!
Termasuk juga pemain industri seni Korea Selatan, kisah buli sering kali menjadi topik hangat perbincangan warganet. Ayuh kita senaraikan enam artis yang pernah terkait isu skandal buli!
JO BYEONGGYU
Menurut Utusan Malaysia, pelakon, Jo Byeong Gyu mencetuskan kemarahan warganet apabila bekas rakan sekolah menengahnya mendedahkan trauma dan menderita apabila pernah menjadi mangsa buli aktor The Uncanny Counter itu.
Byeong Gyu dikatakan sering melakukan penderaan lisan dan jenaka berunsur lucah sehingga memalukan rakannya di sekolah.
Bagaimanapun, pelakon itu tidak mendiamkan diri dan tampil menafikan dakwaan yang dianggap satu cubaan menjatuhkan nama baiknya.
Namun, timbul pula dakwaan daripada beberapa bekas pelajar sekolahnya yang mendedahkan pernah menjadi mangsa buli pelakon itu. Kalau seorang tak apa lagi, ini ramai pula itu. Satu agenda terancangkah?
CHOI YE BIN
Popular menerusi drama fenomena, Penthouse, aktres, Choi Ye Bin juga terpalit skandal buli apabila seorang rakan sekolahnya mendedahkan pernah diganggu dan didera oleh pelakon cantik itu.
Pendedahan yang dilakukan di sosial media itu bagaimanapun ‘terkubur’ dengan sendiri tanpa Ye Bin menafikan. Hantaran yang dimuat naik oleh individu tidak dikenali itu dipadam secara tiba-tiba sekali gus melenyapkan tohmahan itu. Pelik juga kan.
KIM JI SOO
Nama baik pelakon, Kim Ji Soo tercalar apabila seorang bekas rakan sekolahnya mendedahkan pernah menjadi mangsa buli aktor My First First Love itu ketika zaman persekolahan bermula 2006 sehingga 2008.
Pelakon lelaki itu dikatakan sering mengutuk sesama pelajar hampir setiap hari termasuk melibatkan ibu bapa dan mengugut mana-mana pelajar yang mahu membantu atau bersahabat dengan mangsa buli.
Pendedahan itu menyebabkan netizen mula mengecam dan menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pelakon tersebut. Selain menunaikan permintaan netizen, Ji Soo juga menamatkan kontrak dengan agensinya. Sesal tiada berguna lagi.
PARK HYE SOO
Kisah buli pelakon cantik, Park Hye Soo mula tersebar apabila sebuah hantaran di media sosial mendedahkan aktres itu pernah membuli rakan-rakan sekolahnya.
Pendedahan itu menggempar dunia hiburan sehingga drama lakonannya, Dear M yang sedang ditayangkan ketika itu ditarik balik dan ditangguhkan buat sementara waktu.
Hye Soo akhirnya membuka mulut dan menafikan dakwaan tersebut. Malah dia juga mendedahkan pernah menjadi mangsa buli ketika zaman sekolah. Aduh, mana satu yang betul ini?
KIM DONG HEE
Aktor, Kim Dong Hee pula mencetuskan kemarahan warganet pada Februari 2020 apabila didakwa pernah membuli rakan sekolahnya yang kurang upaya secara fizikal sehingga menyebabkan mangsa trauma.
Malah, pelakon itu juga dikatakan bersikap gangster apabila sering mengganggu pelajar-pelajar lain dan menghisap rokok di sekolah. Semua dakwaan itu didedahkan individu tidak dikenali di sebuah forum atas talian.
Dong Hee bagaimanapun mengakui kesalahan yang dilakukan ketika zaman sekolah dan mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi menerusi agensinya. Tetapi sesal tiada berguna kan, siapa suruh buli orang lain.
SEO YE JI
Dikenali menerusi watak sombongnya dalam drama popular, It’s Okay to Not Be Okay, Seo Ye Ji berdepan dakwaan kononnya bersikap angkuh dalam kehidupan sebenar malah merupakan seorang pembuli ketika di sekolah.
Menerusi satu hantaran di media sosial pada Februari 2021, Ye Ji dikatakan telah mengakibatkan penderitaan emosi dan fizikal kepada mangsa bulinya sehingga sekarang. Tak sangka juga kan!
Namun sejak kontroversi itu mengambil alih kedudukan pertama carta berita hiburan, pelakon itu memilih untuk mendiamkan diri dan tidak terlalu aktif dalam dunia seni. Naf pun tidak, iya pun tidak.


































