INAZAWA: Golongan wanita buat pertama kali menyertai festival lelaki bercawat berusia 1,250 tahun yang dikenali sebagai Hadaka Matsuri di sebuah kuil di tengah Jepun semalam.
Pertama kali dalam sejarah acara itu, wanita hadir memakai jubah ungu dan melaungkan nyanyian sambil menggalas batang buluh besar ketika menyertai persembahan.
Menurut Utusan Malaysia, tujuh kumpulan wanita mengambil bahagian dalam upacara itu yang dikatakan untuk menghalau roh jahat dan peserta berdoa memohon kebahagiaan.
Ramai wanita memakai jubah mencecah pinggul diberi nama kot Happi dan seluar pendek yang biasanya dipakai pada perayaan Jepun sementara lelaki hanya memakai cawat sama seperti yang dipakai oleh ahli gusti sumo.
“Saya mendengar wanita boleh menyertainya jadi saya teruja mengambil bahagian untuk membantu membawa keseronokan ke bandar dan festival ini,” kata penjawat awam, Emi Tachibana, 59.
Paderi Kuil Konomiya, Naruhito Tsunoda berkata, tidak pernah ada larangan ke atas wanita mengambil bahagian, malah ada yang membuat persembahan kecil sebagai individu sebelum ini.
“Äpabila kumpulan wanita bertanya pada tahun lepas sama ada mereka boleh menyertainya, mengatakan ya adalah mudah.
“Saya percaya perkara yang paling penting adalah untuk ada perayaan yang menyeronokkan untuk semua orang. Saya fikir Tuhan akan lebih gembira mengenainya juga,” katanya.
Wanita berkenaan bagaimanapun tidak menyertai acara utama perayaan itu melibatkan sekumpulan besar lelaki untuk menghalau roh jahat.
Tsunoda berkata, adalah sukar untuk membuka bahagian perayaan itu kepada wanita kerana aspek fizikal.
Kerajaan Jepun tahun lalu mengumumkan akan menyokong usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam masyarakat selepas laporan tahunan menunjukkan negara itu sedang bergelut untuk merapatkan jurang jantina.
Laporan Forum Ekonomi Dunia yang mengukur kesaksamaan jantina meletakkan Jepun di tempat ke-125 daripada 146 negara pada 2023, turun daripada ke-116 pada 2022.


































