Low Wee Wern akan terus kekal dalam arena sukan skuasy selepas mengumumkan persaraannya kelmarin pada usia 33 tahun.
PETALING JAYA: Bekas jaguh skuasy negara, Low Wee Wern akan terus kekal dalam arena sukan itu selepas mengumumkan persaraannya kelmarin pada usia 33 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, anak jati Pulau Pinang itu telah pun menerima beberapa tawaran untuk menjadi jurulatih antaranya Filipina.
Begitupun, Wee Wern yang pernah menjadi pemain No. 5 Dunia sedang meneliti beberapa perkara sebelum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai hala tuju kariernya selepas ini.
“Sebenarnya ada beberapa tawaran dari luar negara dan ia akan diumumkan sebaik sahaja saya menandatangani kontrak. Selepas bersara, saya fikir tugas sebagai jurulatih adalah paling realistik.
“Secara jujur, besar kemungkinan Filipina merupakan destinasi saya selepas ini memandangkan perbincangan dengan mereka sudah selesai hampir 80 peratus,” kata Wee Wern.
Wee Wern menjelaskan dia terpaksa mengundur diri daripada arena antarabangsa selepas beberapa tahun bergelut dengan masalah kecederaan kaki yang dialaminya sejak 2014.
Dalam tempoh itu, Wee Wern terpaksa menjalani pembedahan sebanyak empat kali, tiga kali di kaki kiri antara (2014 hingga 2018) serta yang terakhir di kaki kanan dan proses itu telah memberikan kesan terhadap prestasinya di dalam gelanggang.
Sepanjang dua dekad beraksi untuk Malaysia, Wee Wern telah meraih pelbagai kejayaan antaranya muncul naib juara pada Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia 2014 selain memenangi pingat emas Sukan Asia 2010 dan 2014.
“Saya perlu realistik juga kerana sudah empat kali menjalani pembedahan. Saya cuba kembali bermain dalam tempoh dua tahun terakhir sehingga berjaya melonjak ke ranking 62 dunia, namun ia bukan tahap yang saya mahu.
“Memang permainan saya agak baik tetapi kondisi badan sudah tidak sama seperti dahulu dan sukar untuk pulih sepenuhnya. Saya menjalani pembedahan terakhir pada 2021 gara-gara kecederaan lutut,” tambahnya.


































