Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang terkorban dalam kejadian sebuah bengkel kimpalan meletup, di Puchong Utama, di sini hari ini. Foto: Shiddieqiin Zon
PUCHONG: Dua individu yang maut dalam kejadian letupan gas di Taman Perindustrian Puchong Utama di sini, hari ini dikenal pasti sebagai warga asing.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar berkata, bagaimanapun, kedua-dua mangsa merupakan lelaki dianggarkan berusia 30-an namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Serdang bagi proses bedah siasat.
“Dalam kejadian terbabit, dua lagi mangsa iaitu rakyat tempatan cedera parah dan ringan turut dirawat di hospital sama,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.
Menurut Mohd. Fairus, siasatan awal turut mendapati premis tersebut merupakan sebuah kilang besi yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu.
Jelasnya, pemeriksaan dijalankan mendapati kilang terbabit mempunyai lesen perniagaan di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kejadian membabitkan bangunan lot kedai satu tingkat iaitu kilang besi. Kita akan mengambil keterangan pemilik premis bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian terdapat beberapa tong gas ditemukan. Dalam insiden terbabit, ada empat pekerja dalam premis terbabit,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini punca kejadian dipercayai akibat satu tong gas acetylene yang meletup.
Terdahulu, dua individu meninggal dunia manakala dua lagi dipercaya cedera dalam letupan gas acetylene di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.14 pagi berkaitan kejadian itu.
Katanya, seramai 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Subang dan BBP Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba di lokasi, didapati letupan melibatkan gas acetylene di sebuah kedai berkeluasan 30×60 kaki persegi,” katanya.


































