Johnathan Wong Guanjie gigih menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
KUALA LUMPUR: Kejayaan memperoleh merit dalam kejohanan dunia di Korea Selatan, Oktober lalu menjadi azimat buat penembak negara, Johnathan Wong Guanjie meletakkan sasaran untuk berada di podium pada Sukan OIimpik Paris 2024, Julai ini.
Penembak berusia 32 tahun itu mahu berusaha dengan lebih keras selepas kejayaannya menempah tiket ke sukan berprestij itu dalam Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan, Oktober tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Johnathan berkata, Sukan Olimpik kali ini berbeza dan dia turut dibantu Institut Sukan Negara (ISN) meningkatkan prestasinya saat berlatih mahupun di kejohanan.
“Amat berlainan dengan Olimpik sebelum ini, kali ini saya lihat banyak pihak yang membantu saya untuk merealisasikan impian saya untuk memungut pingat di Olimpik.
“Ini adalah kali kedua saya untuk berada di Olimpik. Sasaran saya adalah untuk mendapat mata lebih banyak sehingga masuk ke final.
“Sekarang, tujuan pertama saya adalah untuk mendapatkan tempat di final.
“Itulah sebabnya kami melibatkan diri di semua kejohanan untuk melihat jika ada kekurangan atau pun tidak,” katanya kepada pemberita semasa lawatan Ketua Kontinjen di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, semalam.
Johnathan menjadi atlet ketiga Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas Bertrand Rhodict Lises mewakili sukan terjun dan Nur Shazrin Latif daripada pelayaran.
Terdahulu, dia menamatkan siri latihannya di Denmark dengan memenangi pingat perak acara 10 meter (m) pistol angin lelaki pada Kejohanan Terbuka Denmark 2024, minggu lalu.
Dalam pada itu, Johnathan menyatakan beliau telah berbincang bersama ISN untuk mempertingkatkan otot fizikalnya sebelum Sukan Olimpik Paris membuka tirai pada Julai ini.
“Kita bermain dalam sukan sudah tentu ada bahagian fizikal yang tertentu yang perlu diperbaiki. Ada beberapa bahagian otot yang perlu dibina dan diperkuatkan,
“Walau bagaimanapun, saya sudah berbincang bersama ISN tetapi belum memulakan dengan lebih terperinci lagi,” katanya.
Untuk rekod, Johnathan berjaya meraih dua emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Vietnam (2021) dalam acara acara 10 (m) pistol angin.


































