KUALA LANGAT: Polis menyelamatkan lima individu, termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang dijadikan pelacur dalam serbuan ke atas lot kedai yang dijadikan pusat pelacuran di Banting, di sini, petang semalam.
Selain itu, polis turut menemukan seorang bayi berusia 11 bulan serta kanak-kanak lelaki dekat lokasi berkenaan dalam satu operasi pada pukul 3.30 petang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, serbuan tersebut dibuat berdasarkan maklumat menerusi risikan sepasukan dari Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) (D3) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuala Langat membuat serbuan.
“Kesemua yang diselamatkan adalah lelaki dan perempuan warga tempatan termasuk seorang bayi berusia 11 bulan hingga 25 tahun. Premis tersebut didapati diubah suai dan dijadikan empat bilik yang menggunakan langsir,” katanya, hari ini.
Tambahnya, dalam operasi sama polis turut menahan dua wanita warga Indonesia dan seorang wanita tempatan dipercayai bertindak sebagai ‘ibu ayam’.
“Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 45 hingga 57 tahun. Bayi perempuan berkenaan adalah anak ‘ibu ayam’ terbabit, sementara identiti ibu bapa kanak-kanak perempuan dan lelaki itu masih dalam siasatan,” jelasnya.
Katanya Ahmad Ridhwan lagi, pusat tersebut dipercayai beroperasi lebih kurang dua bulan dengan menjadikan lelaki warga asing sebagai pelanggan berpotensi mereka.
“Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Telok Datok, Banting, hari ini bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 ATIPSOM 2007 yang memperuntukkan hukuman sehingga seumur hidup dan sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
“Dipercayai kanak-kanak perempuan itu telah dieksplotasi menjadi pelacur lebih kurang dua bulan juga,” ujarnya.


































