Aksi Alice Chang Li Siang ketika beraksi di Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia 2024 di Busan, Korea Selatan. (Foto: World Table Tennis)
PETALING JAYA: Impian pasukan ping pong wanita negara melakar sejarah di Kejohanan Berpasukan Dunia, Busan tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Croatia dalam aksi yang berlangsung kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Karen Lynn Dick yang turun sebagai wakil pertama cuba memberikan tentangan sengit kepada Hana Arapovic, namun akur apabila tewas dengan keputusan 6-11, 11-5, 8-11, 11-9, 11-8.
Malaysia mempertaruhkan Alice Chang Li Sian sebagai wakil kedua cuba untuk menyamakan kedudukan, namun lawannya, Lea Rakovac terlalu ampuh untuk dijinakkan yang menyaksikan Alice tewas dengan keputusan 11-13, 8-11, 10-12.
Ho Ying cuba untuk membangkitkan semula perjuangan Malaysia apabila menang ke atas Mateja Jeger dengan keputusan 13-11, 11-6, 11-6.
Bagaimanapun Alice yang kembali turun sebagai pemain keempat gagal mengekang Arapovic dengan tunduk 10-12, 11-9, 4-11, 3-11 sekaligus tersingkir daripada saingan ini.
Begitupun skuad wanita negara kendalian Beh Lee Wei masih boleh berbangga kerana buat pertama kalinya mereka berjaya melepas saingan peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan 32 terbaik.
Terdahulu, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan 7 sebagai naib juara, dengan mengumpul enam mata, mengiringi Korea Selatan sebagai juara kumpulan ke pusingan kalah mati.
Pasukan yang berjaya mara ke suku akhir bakal meraih tempat automatik ke Sukan Olimpik Paris Julai depan.
“Perlawanan pertama membabitkan Karen dan Alice saya lihat lawan banyak bernasib baik raih mata dari segi bola bola pukulan mereka. Apa pun saya amat berbangga dengan pencapaian mereka. Kita kini adalah antara 24 pasukan terbaik dunia.
“Kita mempunyai sebuah pasukan yang bagus sekarang, dan mereka melengkapi satu sama lain berdasarkan gaya permainan mereka. Selain Ho Ying, pemain-pemain lain dalam lingkungan 20-an,” jelas Lee Wei yang dihubungi Utusan Malaysia.






























