Pesawat Delta Airlines.
AMSTERDAM: Pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Detroit terpaksa berpatah balik selepas insiden beberapa ekor ulat dari bagasi yang diletakkan di kabin jatuh ke atas penumpang.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian Selasa lalu, pesawat Delta Airlines DL133 yang terbang kira-kira satu jam itu terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang akibat kekecohan dan bau busuk di dalam kabin.
Selepas pemeriksaan ke atas tong sampah berhampiran, kru penerbangan menjumpai beg mengandungi ikan busuk yang tidak dibungkus dengan betul tetapi hanya dibalut surat khabar.
Menurut kenyataan Delta kepada portalFox2Detroit dan People, pesawat itu kembali ke pintu pagar dan penumpang ditempatkan pada penerbangan yang tersedia seterusnya.
Salah seorang penumpang warga Belanda yang berada dalam pesawat itu, Philip Schotte berkata, seorang wanita tiba-tiba menjerit ketakutan dan cuba membuang ulat yang jatuh di ribanya.
“Kru kabin mendapati terdapat ikan busuk yang sudah berulat di dalam beg yang dibawa naik.
“Saya melihat reaksi semua orang yang hampir muntah kerana tidak tahan dengan bau busuk yang menusuk hidung selepas beg itu dibuka,” katanya.


































