Dr. Dzulkefly Ahmad
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memfokuskan transformasi digital dan reformasi pembiayaan kesihatan sebagai dua pembaharuan untuk dilaksanakan tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua perkara itu menjadi satu keperluan untuk dilaksanakan sejajar reformasi sistem kesihatan negara seperti digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan.
Beliau menjelaskan, 2024 menjadi tahun pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan dengan mewujudkan pasukan teknikal mengikut bidang tertentu.
“Kita bergerak ke arah bentuk tindakan dan pelaksanaan transformasi dengan mengenal pasti fokus dan tumpuan dalam dokumen itu.
“Namun, bagi saya fokus reformasi adalah dua aspek iaitu transformasi digital kesihatan iaitu sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan reformasi sistem pembiayaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kolaborasi Strategi antara KPJ Healthcare Berhad dan Mayo Clinic di Hospital Pakar Damansara 2 di sini, kelmarin.
































