Pasukan bomba memeriksa kebocoran gas amonia yang berlaku dekat sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Raja di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
SHAH ALAM: Seramai 10 pekerja dua buah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7 di sini, dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas amonia yang kebocoran di satu daripada premis itu, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan mangsa tempatan iaitu lapan wanita dan dua lelaki berusia 20 hingga 30-an.
Kesemua mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan oksigen.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.15 pagi.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota termasuk pegawai dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikerah dalam operasi berkenaan.
“Kejadian itu melibatkan kebocoran gas amonia daripada injap tangki penyimpanannya. Kesemua mangsa terdiri daripada sembilan pekerja kilang yang mengalami kebocoran itu manakala seorang lagi iaitu pekerja kilang bersebelahan,” katanya, kelmarin.
Tambah Ahmad Mukhlis, kerja bagi menutup injap bocor itu sedang giat dilakukan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kesemua mangsa yang dihantar ke Hospital Shah Alam dilaporkan dalam keadaan stabil.


































