Alice Chang adalah antara tonggak yang membarisi skuad kebangsaan di Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia di Busan, Korea Selatan 2024.
PETALING JAYA: Skuad ping pong wanita negara memulakan kempen mereka di Kejohanan Berpasukan Dunia 2024 di Busan, Korea Selatan dengan langkah kanan selepas menumbang Cuba 3-0 kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, aksi yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvesyen Busan menyaksikan Malaysia menurunkan Alice Chang sebagai wakil pertama tidak berdepan masalah untuk menewaskan Estela Crespo dengan keputusan 11-5, 11-5, 11-7.
Karen Lynn Dick meneruskan momentum tersebut untuk menggandakan kedudukan 2-0 buat kem Malaysia selepas mengatasi Daniela Fonseca Carrazana 11-9, 11-9, 13-11.
Pemain berpengalaman, Ho Ying melengkapkan kemenangan 3-0 untuk Malaysia selepas menewaskan Rosalba Aguiar dengan keputusan 11-8, 11-6, 11-5.
Kemenangan ini meletakkan pasukan wanita negara berada di tangga kedua Kumpulan 5 dengan meraih dua mata, dan bakal membuat perhitungan dengan pendahulu kumpulan, Korea Selatan esok.
Malang buat skuad lelaki apabila gagal untuk melakar kemenangan ke atas Kanada setelah tumpas dengan keputusan 2-3.
Malaysia mendahului 2-0 apabila Wong Qi Shen dan Choong Javen berjaya mengatasi lawan masing-masing sebelum Kanada bangkit untuk menang baki tiga lagi perlawanan selepas itu.
Skuad lelaki negara akan bertemu Singapura pada Ahad untuk aksi kedua Kumpulan 7.
































