SHAH ALAM: Bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam didenda RM100 selepas mengaku bersalah menghantar mesej kurang sopan terhadap seorang lelaki di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Manikavasagam, 59, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Mengikut pertuduhan, Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) itu dituduh melakukan perbuatan tersebut terhadap Koh Swee Yong, 73, dengan menghantar mesej kurang sopan melalui sebuah aplikasi pesanan digital dengan tujuan membangkitkan kemarahan pengadu.
Dia didakwa melakukan perbuatan demikian di sebuah rumah di SS 15, Subang Jaya, pada 4 Januari tahun, lebih kurang pukul 3.27 petang.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Kecil 1955 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM100 dan Manikavasagam dilaporkan membayar denda tersebut pada hari yang sama.
Dia menjelaskan, tindakan yang dibuat ke atas Swee Yong adalah disebabkan berlakunya pencanggahan berhubung masalah dalaman yang melibatkan partinya.
“Untuk makluman, Swee Yong merupakan bekas setiausaha PRM dan saya membuat laporan polis ke atasnya pada 7 Februari lalu kerana beliau turut menganggu saya. Saya harap laporan terhadapnya, polis kena siasat juga,” katanya ketika ditemui pemberita.






























