Ebit Lew menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.
TENOM: Saksi kesembilan mula memberi keterangan bagi menjelaskan 436 gambar tangkap layar mengenai kandungan perbualannya bersama pendakwah terkenal, Ebit Lew melalui aplikasi Whatsapp.
Semasa keterangannya, saksi yang juga pengadu bagi kes perbicaraan gangguan seksual membabitkan Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, mendedahkan kepada mahkamah tentang mesej yang dihantar oleh Ebit termasuk sebahagian mesej dan gambar berunsur lucah.
Pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 40-an itu juga memberitahu Ebit kerap menghantar mesej kepadanya secara kerap pada Mac 2021 dan berlanjutan sehingga Jun namun mesej yang dihantar tidak sekerap pada bulan Mac.
Malah, sepanjang tempoh itu, Ebit berulang kali meminta pengadu menjawab panggilan videonya.
Perbuatan Ebit yang menunjukkan kemaluan dan menghantar mesej keterlaluan menerusi aplikasi Whatsapp turut menyebabkan pengadu marah dan tertekan.
Mengulas lanjut katanya, selepas melihat orang kongsi paparan dimuat naik penceramah motivasi Mohd. Fairuz Abu @ Akhi Fairuz Al-Jengkawi tentang gangguan seksual daripada pendakwah terkenal maka, dia terus terfikir gangguan yang diterimanya.
Justeru, pengadu berkongsi tangkap layar teks yang diterima daripada Ebit kepada Akhi Fairuz namun, ketika itu Fairuz masih belum percaya bahawa pengadu adalah mangsa dan minta lagi contoh teks yang diterimanya.
“Kami yang dahulu cakap itu adalah (mesej daripada) Ebit Lew. Kemudian, Akhi Fairuz berikan kami contoh teks daripada mangsa lain. Apabila kami lihat ayat yang digunakan dan cara penulisannya adalah sama dengan teks daripada Ebit,” katanya semasa sesi pemeriksaan utama di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Pengadu juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa Akhi Fairuz turut membantu pengadu mendapatkan tiket penerbangan dan penginapan semasa dia membuat laporan polis di Bukit Aman pada 7 Ogos 2021.
Semasa memberi keterangan tentang gambar tangkap layar pertama, saksi memberitahu mahkamah itu adalah perbualan antara dia dan Ebit berdasarkan cara penulisan mesej satu per satu dan Whatsapp yang banyak.
Setakat perbicaraan petang tadi, sebanyak 33 daripada 436 gambar tangkap layar telah diterangkan di mahkamah dan perbicaraan akan bersambung esok.
Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.






























