Suasana hujan lebat ‘menyambut’ ketibaan dua mayat mangsa pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, dekat pekarangan Jabatan Forensik, HTAR di Klang, Selangor, hari ini.
KLANG: Mayat mangsa pesawat terhempas dekat Kampung Muda, Kapar di sini, tiba di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada pukul 8.45 malam, tadi untuk proses bedah siasat dan pengecaman identiti.
Mayat mangsa dibawa ke hospital berkenaan dengan menggunakan trak pikap polis selepas kedua-duanya ditemukan dalam keadaan tertimbus sedalam dua meter di lokasi nahas.
Bagaimanapun, belum kelihatan ahli keluarga waris mangsa kepada mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42, di sekitar pekarangan Jabatan Forensik hospital berkenaan ketika mayat kedua-duanya tiba.
Namun, sebelum itu mereka dilaporkan berada di lokasi nahas bagi menyaksikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum diarahkan polis untuk hadir ke HTAR bagi tujuan pengecaman identiti.
Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 1.35 tengah hari itu, polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor melaksanakan operasi SAR pada radius satu hingga dua kilometer.
Selain menggunakan jentera bagi menggali serpihan pesawat model BK 160 Gabriel, Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan serta dua buah drone diterbangkan bagi membantu operasi berkenaan.
Kedua-dua mayat itu dipercayai ditemukan tertimbus sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat berkenaan, kira-kira pukul 2 petang tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai nahas menimpa mangsa dari Johor dan Pulau Pinang itu, kira-kira pukul 1.45 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan oleh sepasukan 150 anggota polis, bomba dan agensi berkaitan. Usaha mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran kerana perlu mengorek tanah di bangkai pesawat itu,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 bagi penerbangan rekreasi.
Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang.






























