Pihak bomba sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta yang terbakar hampir 90% berhampiran tol Bukit Gambir menghala Tangkak awal pagi tadi.
TANGKAK: Seorang pemuda berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbakar berhampiran tol Bukit Gambir menghala Tangkak awal pagi tadi.
Mangsa, Chong Choon Hoong, 23, memandu sendirian ketika kejadian dalam perjalanan ke arah Utara selepas tol masuk Bukit Gambir, Tangkak.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Mohd. Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.49 pagi mengenai kejadian.
“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, terdapat kebakaran sebuah kereta jenis Proton Saga yang telah terbakar.
“Menurut mangsa, kereta dipandunya terbakar tiba-tiba namun mangsa dapat keluar dari kenderaan dengan selamat.
“Kebakaran itu memusnahkan 90 peratus kenderaan tersebut. Pihak bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran salur bantu mula sehingga selesai,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Seramai tujuh orang anggota di ketuai Komander Operasi, PBK II Mohd Khalid Mohd Aris dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian bersama satu jentera.
Punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 2.32 pagi
































