Masiung (tengah) menerima cenderahati daripada Willy sambil diperhatikan oleh oleh Fairuz
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mahu pimpinan Pemuda dan Beliawanis parti agar bangkit menangkis fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada Presiden dan parti.
“Untuk apa anda mengaku sebagai pejuang muda tetapi ‘menikus’ bila ada orang mencerca Presiden dan parti.
“Gagasan Rakyat adalah rumah kita, jangan biarkan pencacai bebas keluar masuk mengotorkan bilik dan ruang tamu kita.
“Jangan sekali-kali benarkan ada pemimpin ekstrem cuba menabur pasir dalam menu yang sudah kita sediakan,” tegas beliau ketika berucap merasmikan Program Takwim Tahunan dan Retreat anjuran Pergerakan Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Kuamut di sebuah pusat peranginan di Bukit Kokol di sini Rabu. Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Negeri, Datuk Fairuz Randan turut hadir.
Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut berkata, rakyat di luar sana mungkin percaya tohmahan pembangkang jika pemimpin Gagasan Rakyat sendiri tidak menangkis untuk menjelaskan perkara betul.
“Betapa terdesaknya pencacai pembangkang yang kemaruk mau berkuasa sehingga menimbulkan isu yang kurang tepat,” katanya.
Beliau mahu pemimpin muda bangkit sebagai pahlawan dan tampil membela maruah parti dan Presiden Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang sering diperolokkan oleh pelampau politik di media sosial.
Katanya, Gagasan Rakyat juga mempunyai saluran media yang boleh menyuarakan hak dan kepentingan parti.
Pemimpin yang terkenal dengan slogan Tatap Kalaga itu berkata, tiga sayap utama Gagasan Rakyat iaitu Pemuda, Wanita dan Beliawanis merupakan gerak gampur parti yang perlu tampil menegakkan perjuangan.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Kuamut, Willy Frous Darinsok dan Ketua Beliawanis, Siti Khalidah Mahalil turut menyampaikan ucapan di majlis itu.
































