Busana ceria dan aneka warna melambangkan unsur-unsur kegembiraan dan keseronokan.
Sabtu ini masyarakat Cina merayakan Tahun Baharu Cina. Menjadikan sambutan kali ini lebih istimewa kerana tahun naga kali dikaitkan dengan tahun bertuah dan tahun terbaik menimbang cahaya mata.
Memetik Utusan Malaysia, penggunaan warna merah turut menjadi simbol keberanian dan dipercayai dapat menghalau hantu atau raksasa ganas yang cuba memusnahkan keharmonian sesebuah keluarga.
Menyingkap rahsia Tahun Baharu Cina, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, naga merupakan antara tiga haiwan paling gagah perkasa dalam zodiak Cina selain harimau dan monyet.
Malah, naga merupakan lambang kekuasaan, kesejahteraan dan kemakmuran.
“Disebabkan 2024 dinaungi tahun naga, maka tarian naga dijangka akan lebih banyak dipersembahkan pada Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Di sebalik kemeriahan sambutan perayaan, ada beberapa pantang-larang perlu dipatuhi masyarakat Cina dan tetamu beragama lain.
Kok Seong berkata, paling mustahak, jauhi pakaian serba putih atau hitam ketika datang berkunjung kerana warna-warna itu menggambarkan kematian dan kesedihan.
Sebaliknya, gayakan busana berwarna-warni seperti merah, merah jambu, biru atau kuning yang melambangkan unsur-unsur kegembiraan dan keseronokan.
“Sanak saudara berkunjung perlu turut sentiasa berwaspada agar tidak memecahkan apa jua barangan sama ada milik peribadi atau tuan rumah.
“Orang Cina percaya sebarang insiden seperti pasu atau pinggan mangkuk pecah, boleh mengundang nasib buruk atau kecelakaan sepanjang tahun buat mereka,” katanya.
































