Jauteh Dikun (dua kanan) menerima replika kunci daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif (dua kiri) di Masjid Nur Islam Kariah PDRM Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Sebanyak 538 koloni setinggan yang menjadi penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenal pasti di seluruh Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sebahagian besar koloni setinggan yang dikenal pasti ini dihuni sepenuhnya oleh PATI dan sebahagian kecil turut dihuni oleh penduduk tempatan.
Beliau berkata, PDRM dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan melancarkan operasi memerangi PATI dalam masa terdekat setelah semua maklumat dikumpul sepenuhnya.
“Kita dapati sudah sampai waktunya untuk kita laksanakan kerjasama dengan semua jabatan yang terlibat untuk melaksanakan operasi ini.
“Bagi PDRM, kita telah melaksanakan persiapan ke atas tindakan operasi PATI. Kita akan laksanakan operasi secara menyeluruh tapi, secara berperingkat dengan kerjasama semua pihak,” katanya semasa sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi memerangi PATI itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Sukarelawan dan jabatan-jabatan lain.
Mengulas mengenai insiden PATI berjaya lolos dari Sandakan sehingga ke Kota Kinabalu, Jauteh berkata, pihaknya berhadapan cabaran apabila semakin banyak laluan yang boleh digunakan dari Sandakan ke Kota Kinabalu.
Katanya, laluan-laluan itu bukan laluan tikus sebaliknya laluan di ladang kelapa sawit yang membolehkan pihak tertentu tembus sehingga ke Kota Kinabalu tanpa dikesan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama pihak-pihak ladang agar jangan membenarkan kenderaan awam lalu di kawasan ladang mereka.


































