Mancha Ata
KUCHING: “Bekas Yang Dipertua Negeri (TYT) Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan di kediamannya,” kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.
Menurut Utusan Malaysia, Mancha bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut berhubung siasatan terhadap laporan mendakwa Abdul Taib dibawa keluar dari Hospital Pakar Normah, Petra Jaya, malam Sabtu lalu.
“Tun kini berada di rumahnya sendiri di Demak Jaya, tetapi kita tidak boleh memberikan butiran lanjut.
“Ini kerana kes tersebut masih lagi dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, kelmarin.
Sebelum ini, polis Sarawak mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang doktor swasta berhubung kejadian yang mendakwa Abdul Taib dibawa keluar dari hospital.
Polis turut mengesahkan menerima laporan kedua yang dibuat oleh ahli keluarga Abdul Taib pada Ahad lalu berdasarkan laporan pertama.
Isteri Abdul Taib, Toh Puan Raghad Kurdi Taib menepis dakwaan beliau membawa suaminya keluar dari hospital bertentangan dengan nasihat doktor.


































