JOHOR BAHRU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan wang tunai RM35,000.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua lapan pegawai dan anggota berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima Polis Kontinjen Johor berkaitan kejadian itu pada 9.32 malam, Selasa.
Kesemua mereka direman empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Kita menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 oleh pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seri Alam.
“Kes diklasifikasikan dan disiasat bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan. Kes masih pada peringkat siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.
Kumar mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan sambil menegaskan pihaknya komited dalam memerangi masalah integriti dan salah laku jenayah dalam kalangan pegawai serta anggota pasukan itu demi meningkatkan keyakinan masyarakat.
“Pegawai dan anggota yang dipercayai melakukan jenayah, akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan polis dengan mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.
Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang berjumlah RM35,000 kepada anggota polis berkenaan, namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.
Susulan itu, enam lelaki dan dua wanita yang juga pegawai serta anggota polis IPD Seri Alam ditahan untuk siasatan lanjut.


































