Azizulhasni Awang kini berlatih di Australia.
PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai halangan untuk jaguh pecut berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus kekal berlatih di Australia.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya fleksibel dan jurulatihnya sebelum ini juga sudah menyatakan bahawa itu (berlatih di Australia) adalah yang terbaik untuk atlet negara itu.
“KBS tidak pernah ada halangan untuk atlet berlatih di mana, jurulatih kata itu yang terbaik untuk Azizulhasni dan kita fleksibel, Ini tempoh kritikal dalam beberapa bulan (sebelum Olimpik Paris 2024).
“Saya juga tidak pernah bimbang dengan (prestasi) Azizulhasni kerana dia sendiri mempunyai semangat juang yang tinggi untuk dapatkan emas, sebab itu saya tidak bimbang,” kata Hannah.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, Azizulhasni juga akan kekal mendapatkan rawatan di Australia dan pihaknya masih belum mendapat laporan penuh berhubung keadaan semasa jaguh negara itu.
“Untuk Azizulhasni, ISN (Institut Sukan Negara), doktor dan jurulatih (John Beasley) ada bagi makluman, sekarang dia di Australia dan untuk perkembangan semasa, doktor akan cakap dekat dia sendiri,” katanya.
Sebelum ini, impian jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menambah koleksi pingat di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia tidak kesampaian.
Ini selepas dia terpaksa menarik diri daripada perlumbaan penentuan pingat gangsa dalam acara pecut individu di Adelaide Super-Drome selepas tahap kesihatannya tidak berada dalam kondisi terbaik
Terdahulu, Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ memulakan aksi dalam acara pecut dengan cemerlang apabila mencatat masa keempat terpantas 9.656 saat (s) di pusingan kelayakan dan terus ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan kedua, dia tidak berdepan masalah mengatasi Cristian Ortega dari Colombia sebelum menundukkan jaguh Great Britain, Jack Carlin 2-0 di suku akhir.
Bagaimanapun, dia terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Australia, Matthew Richardson apabila tumpas 2-0 di separuh akhir sebelum dia memutuskan menarik diri daripada aksi penentuan pingat gangsa menentang seorang pelumba Australia, Matthew Glaetzer.
Sebelum itu, Azizulhasni membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya biarpun dibelenggu masalah kesihatan berkaitan jantungnya apabila berjaya meraih emas acara keirin, mengatasi pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.
Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley sebelum ini mendedahkan yang penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis iaitu ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.


































