Mendapatkan anak pada tahun naga merupakan kepercayaan yang masih menjadi amalan masyarakat cina pada hari ini.- Gambar hiasan
Nendapatkan anak pada tahun naga yang merupakan tahun terbaik untuk beranak, merupakan kepercayaan yang masih menjadi amalan masyarakat Cina hingga ke hari ini.
Memetik Utusan Malaysia, Pensyarah kanan Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ku Boon Dar berkata, ia berikutan kepercayaan turun-temurun daripada generasi terdahulu yang percaya naga membawa tuah dan keharmonian.
Naga merupakan haiwan mitos dalam zodiak Cina yang melambangkan simbol kuasa dan keunggulan.
“Kalendar zodiak Cina menampilkan kitaran astrologi selama 12 tahun, oleh itu tahun naga datang setiap 12 tahun sekali.
“Waktu ini ramai yang berpusu-pusu untuk mendapatkan anak kerana dipercayai anak yang lahir pada tahun ini akan memiliki tuah, kesihatan
dan kerahmatan yang lebih.
“Lebih-lebih lagi jika yang dilahirkan adalah bayi lelaki kerana mereka dikatakan akan memiliki kekuatan, kelebihan dan akan mendapat kejayaan dalam kehidupan kerana masyarakat Cina terdahulu mengharapkan anak lelaki untuk membantu keluarga,” jelasnya.
Disebabkan itu, katanya, kadar kelahiran akan meningkat secara signifikan setiap kali tibanya tahun naga.
Malah, ramai pasangan yang akan memulakan persediaan awal dengan berkahwin sekitar penghujung tahun sebelumnya dengan harapan untuk memiliki anak pada tahun naga.
“Memang seboleh-bolehnya ramai masyarakat Cina yang ingin ada anak pada tahun naga supaya anak ini mendapat tuah pada masa akan datang.
“Tetapi pada pandangan peribadi saya, setiap anak itu adalah bagaimana cara kita mencorakkan mereka,” ujarnya.
Menjengah ke laporan Straits Times Singapura, pusat perubatan dan perniagaan berkaitan wanita bersalin di negara itu dikatakan sudah bersiap siaga untuk menerima kelahiran bayi yang lebih ramai daripada kebiasaan.
Ia susulan permulaan Tahun Naga yang bakal bermula pada 10 Februari ini.
Persediaan itu menyaksikan beberapa hospital di negara republik itu membuka wad baharu selain perniagaan berkaitan penjagaan selepas bersalin menambah jumlah kakitangan bagi melancarkan operasi.


































