KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selepas dikesan menyimpan beberapa sampul ‘angpau’ mengandungi wang tunai yang diragui sumbernya, semalam.
Wang tunai itu ditemukan ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah balai di Kuala Lumpur oleh JIPS, Bukit Aman.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan satu kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap anggota terbabit.
Tanpa mendedahkah jumlah wang yang ditemukan, beliau berkata, siasatan selepas ini menjurus untuk memastikan bagaimana wang sebanyak itu boleh berada di dalam simpanan anggota polis terbabit kerana jelas melanggar peraturan tugas.
“Wang itu ditemukan ketika pasukan JIPS Bukit Aman melakukan pemeriksaan rawak di balai polis trsebutt dan menemukan beberapa ‘angpau’ serta wang tunai dalam simpanan anggota polis berkenaan.
“Bila sejumlah wang itu ditemukan, kita perlu pastikan dengan lebih lanjut sama ada wang itu adalah benar-benar miliknya.
“Bila ada sampul ‘angpau’ itu juga menjadi tanda tanya. apakah dia ada menerima ‘angpau’ daripada sesiapa, kerana itu tidak dibenarkan,” katanya di sini.
Kata beliau, penjelasan perlu diberikan anggota berkenaan bagi memastikan tiada salah laku.
“Maka kita perlu bertanya sama ada dia diberi ‘angpau’ itu, siapa yang memberinya. Maka dia perlu menjawab semua persoalan itu ketika siasatan dalaman nanti untuk kita memastikan berlaku salah laku atau sebaliknya,” katanya.
Azri berkata, mengikut prosedur operasi standard untuk anggota yang bertugas di lapangan atau operasi luar seperti sekatan jalankan raya, hanya dibenarkan membawa wang sebanyak RM100.
“Jika bawa wang lebih daripada itu (RM100), anggota perlu mengisytiharkannya kepada penyelia. Namun dalam kes ini, wang itu ditemukan dalam lokernya, maka perkara itu perlu disiasat lebih lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular satu laporan berhubung pemeriksaan JIPS di sebuah balai polis di ibu negara semalam.
Pemeriksaan di loker anggota terbabit, pJIPS menemukan satu beg pinggang mengandungi beberapa sampul ‘angpau’ serta wang tunai berjumlah RM4,239.
Pemeriksaan lanjut pada beg pinggang dipakai anggota itu turut menemui beberapa sampul ‘angpau’ mengandugi wang tunai berjumlah RM2,050 dengan keseluruhan wang tunai ditemukan sebanyak RM6,289.
































