PETALING JAYA: Pelajar-pelajar di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di luar negara boleh memohon penangguhan kepulangan mereka ke Malaysia bagi tujuan bekerja di luar negara bermula 15 Februari ini.
Menurut Utusan Malaysia, JPA dalam satu kenyatan memaklumkan, kerajaan bersetuju supaya pelajar tajaannya di luar negara boleh dipertimbangkan untuk menangguhkan kepulangan ke Malaysia bagi tujuan tersebut.
“Keputusan ini dibuat untuk memberi peluang kepada pelajar tajaan kerajaan menimba pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara sebelum balik berkhidmat di dalam negara,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
JPA berkata, pihaknya bersedia mempertimbang permohonan pelajar-pelajar yang layak sekiranya menetapi beberapa kriteria ditetapkan.
“Kebenaran bekerja adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh pelajar tahun akhir di peringkat ijazah pertama dan tidak diberikan secara automatik. Tempoh penangguhan yang dibenarkan untuk bekerja di luar negara adalah tidak melebihi tiga tahun.
“Tempoh bekerja di luar negara akan dikira sebagai Tempoh Ikatan Berkhidmat yang ditetapkan di dalam perjanjian.
“Bagi pelajar tajaan pinjaman, pelarasan bayaran balik nilai pinjaman berdasarkan sektor pekerjaan dalam negara hanya dibenarkan sekali sahaja setelah pelajar pulang ke Malaysia, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, permohonan boleh dilakukan melalui laman sesawanghttps://myself.jpa.gov.my.
“Sebarang maklumat lanjut boleh dirujuk kepada Soalan Lazim atau maklumat perhubungan yang disediakan di laman sesawang tersebut,” katanya.


































