Lisandro Martinez terpaksa diketepikan selama lapan minggu selepas mengalami kecederaan ligamen lutut ketika The Red Devils melakar kemenangan 3-0 ke atas West Ham United, kelmarin.
LONDON: Pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez terpaksa diketepikan selama lapan minggu selepas mengalami kecederaan ligamen lutut ketika The Red Devils melakar kemenangan 3-0 ke atas West Ham United, kelmarin.
Kecederaan Martinez itu, sekali gus merencatkan impian pasukan kendalian Erik Ten Hag untuk layak ke Liga Juara-Juara selepas mereka mula mempamerkan kebangkitan selepas permulaan hambar pada awal musim ini.
Untuk rekod, Martinez yang menjulang Piala Dunia bersama Argentina sebenarnya baharu sahaja kembali bersama skuad utama United selepas dia mengalami kecederaan kaki yang menyebabkannya berehat hampir keseluruhan musim lalu.
Menurut Utusan Malaysia, pemain berusia 26 tahun itu terpaksa dikeluarkan ketika menang 3-0 ke atas West Ham kelmarin. selepas diterjah keras di bahagian lutut kanannya oleh Vladimir Coufal ketika kedua-dua mereka bersaing merebut bola.
“Lisandro Martinez mengalami kecederaan di ligamen lututnya dan dijangka tidak boleh beraksi sekurang-kurangnya lapan minggu. Kami mendoakannya cepat sembuh dan tidak sabar untuk menyaksikannya kembali ke padang hujung musim ini.” kata United.
Martinez kini dijangka terlepas hampir keseluruhan baki kempen, sekalipun dia berpotensi kembali bagi tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) dan peringkat terakhir Piala FA.
“Dia terlalu sedih, terlalu kecewa. Kami amat memahami apa yang dirasanya. Pertama sekali, ia satu bencana secara peribadi apabila ia terlalu teruk, tetapi tunggu sajalah.
“Bagi pasukan, ia tetap menjejaskan kami kerana dia memang membawa sesuatu ke dalam pasukan,” Ten Hag selepas perlawanan dengan West Ham.
United menghuni tangga keenam EPL, enam mata di belakang Tottenham dan lapan mata di belakang pasukan tangga keempat Aston Villa, yang akan ditemui mereka Ahad ini.
































