Aksi pemain beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
PETALING JAYA: Beregu campuran No. 9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlepas peluang merangkul gelaran selepas tunduk kepada gandingan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, malam tadi.
Diletakkan sebagai pilihan kedua, Tang Jie-Ee Wei akur dengan kekalahan straight set 12-21, 18-21 kepada beregu No. 6 dunia tersebut yang juga pilihan pertama kejohanan.
Menurut Utusan Malaysia, kekalahan itu juga menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua beregu kini semakin melebar kepada 1-5 dengan bekas juara dunia itu masih menjadi lawan yang belum mampu Tang Jie-Ee Wei tewaskan kecuali di Terbuka Arctic, Finland, Oktober lalu.
Pada tahun ini, beregu muda negara itu telahpun kecundang sekali kepada Dechapol-Sapsiree pada Terbuka India, bulan lepas menerusi kekalahan straight set 19-21, 16-21 seawal pusingan kedua.
Walaupun tumbang, namun, ada petanda positif daripada Tang Jie-Ee Wei yang mampu melangkah jauh sehingga ke perlawanan akhir berbanding terkandas di pusingan awal dalam tiga kejohanan yang mereka sertai musim ini.


































