Ellron (belakang, tengah) bersama para penerima kunci Rumah Mesra SMJ pada majlis tersebut.
SOOK: Seramai 20 keluarga menerima kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi DUN Sook pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Biah Tengah, di sini, kelmarin.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan yang juga ADUN Sook, Datuk Ellron Angin.
Para penerima Rumah Mesra SMJ di kawasan DUN.N45 Sook ini terbahagi kepada Mukim Sook (lima keluarga), Mukim Tiulon empat keluarga), Mukim Dalit (lima keluarga) dan Mukim Ansip (enam keluarga).
Difahamkan mereka merupakan senarai penerima bagi tahun 2022 manakala senarai penerima bagi tahun 2023 dan 2024 sudah ada dan akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat.
“Kita bersyukur satu lagi projek kerajaan negeri yang kita telah laksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat,” kata Ellron.
Beliau turut memaklumkan seramai 300 keluarga pemohon di DUN Sook yang telah layak dalam e-kasih masih menunggu untuk mendapatkan kemudahan ini dan berharap agar Kerajaan Negeri meneruskan program ini bagi memenuhi keperluan yang mendesak terutamannya daripada keluarga yang tergolong dalam kategori miskin.
Selain itu, Ellron turut berharap agar penerima Rumah Mesra SMJ ini menghargai usaha murni daripada Kerajaan untuk membantu mereka dengan tidak menyalahgunakan kemudahan ini.
“Kita juga ingin mengingatkan kepada penerima agar menghayati dan menghargai sumbangan Kerajaan Negeri ini dengan tidak menyalahgunakan kemudahan ini seperti menyewakan dengan orang lain dan ada yang tidak menghuni sama sekali, kerana hal sedemikian akan menghampakan harapan Kerajaan Negeri.
“Saya berharap perkara sebegini tidak akan berlaku di kawasan DUN Sook,” katanya.
Terdahulu, sebelum menyempurnakan majlis tersebut, Ellron sempat melawat ke Kampung Ansip Laut, Mukim Ansip bagi melihat Rumah Mesra SMJ dan menyerahkan kunci kepada Justinah Tingkalor.
Hadir sama dalam majlis kelmarin ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Caroline Benjamin Jiugan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook, Tony Talasoi, warga Pejabat Daerah Kecil Sook dan UPPM N45 Sook.
































