Anna Bell Perian
KOTA KINABALU: Fitnah yang dilemparkan ke atas Mohd. Reza Hajiji menunjukkan individu atau pihak terbabit terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan (GRS-PH) yang tanpa henti membawa pembangunan untuk Sabahan dan Sabah.
Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Anna Bell Perian berkata, fitnah terhadap Reza yang dituduh terlibat dengan kartel dadah adalah perbuatan berniat jahat dan sengaja dicetuskan untuk menarik perhatian sekaligus cuba menjejaskan imej Ketua Menteri Sabah.
“Ia menunjukkan bahawa individu atau pihak terbabit terdesak dengan menabur fitnah untuk mengalihkan perhatian rakyat untuk menyokong Kerajaan Negeri yang tanpa henti membawa pembangunan untuk rakyat dan negeri Sabah.
“Pihak yang terlibat juga sengaja mengadu domba kerana tidak ada isu yang ingin mereka utarakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anna berkata, memasuki tahun baharu 2024, tahun yang masih menyaksikan peperangan dunia luar antara Israel–Palestin sedang berlaku sehingga mengundang ketidaktentuan politik peringkat antarabangsa dan juga kemelesetan ekonomi dunia, semua pihak tidak kira pihak Kerajaan, pembangkang dan rakyat seharusnya memberikan fokus kepada berganding bahu untuk memulih dan membangunkan ekonomi negeri kerana “kalau bukan kita semua siapa lagi.
“Cukup-cukuplah berpolitik kerana rakyat sedang memerhatikan kita semua, tentu juga diselitkan doa-doa untuk kemenangan saudara mara kita di Palestin dalam berjuang membela tanah air mereka.
“Sabah dan rakyatnya menjadi contoh terbaik bukan hanya di peringkat negeri saja tetapi diperingkat nasional hidup aman harmoni tanpa peperangan meskipun berbeza budaya, kaum dan agama. Namun sayangnya, ada pihak yang suka mencetuskan ‘peperangan’ yang dangkal, lagi busuk, dipenuhi hasad dengki untuk menjatuhkan orang lain.
“Mengapa tidak kita bersama-sama menjalankan tugas kita sebagai rakyat Sabah? Membina dan memakmurkan negeri tercinta, merentasi perbezaan ideologi…bukan berusaha mencari akal dan helah untuk ‘menusuk duri menikam daging hingga kesuma jiwa lara’.”
Anna berkata, segala kealpaan yang membinasakan selama ini harus dijadikan iktibar dan teladan kepada semua atas segala musibah, kekurangan mahupun perbezaan.
“Kita berdoa semoga Sabah yang kita cintai ini terus kekal aman, makmur dan sejahtera untuk anak cucu cicit kita masa hadapan,” ujarnya.
Rentetan daripada itu, Wanita Gagasan Rakyat dari Bahagian Sungai Sibuga, Gum-gum, Elopura, Tanjung Papat, Karamunting, Sekong dan beberapa kawasan lain telah membuat laporan polis agar siasatan terperinci dilaksanakan terhadap fitnah itu agar pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
































