Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) yang diperuntukkan sebanyak RM184.71 juta bagi perbekalan dan RM25.32 juta untuk pembangunan dalam Belanjawan 2024, dalam rangka untuk mendigitalkan beberapa perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ke arah pendigitalan perkhidmatan, kementerian saya juga dalam rangka untuk mendigitalkan beberapa perkhidmatan PBT.
Katanya, ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan di samping dapat membantu meningkatkan pendapatan PBT.
“Pada tahun 2024, dengan kerjasama KKTP, Bahagian Kerajaan Digital, Jabatan Komputer Negeri Sabah dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak empat PBT akan terlibat sebagai projek perintis dalam usaha melaksanakan ePBT,” katanya ketika menggulung untuk KKTP pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, kelmarin.
Meningkatkan Kecekapan PBT Dan Agensi
Bagi meningkatkan kecekapan PBT dan agensi di bawah KKTP melalui pengukuhan undang-undang, Dr. Joachim berkata, terdapat dua undang-undang kecil seragam yang baharu telah diwartakan pada 5 Oktober 2023 yang lalu, iaitu Undang-Undang Kecil Pelesenan Penggunaan Premis Bagi Tred, Perniagaan dan Perindustrian Seragam 2022 dan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan Seragam 2022.
Katanya, pewartaan undang-undang kecil ini merupakan satu lonjakan yang ketara dalam komitmen Kementerian saya untuk memperkasa dan mengukuhkan sistem pentadbiran PBT sekali gus meningkatkan hasil pendapatan mereka.
Selain itu, jelasnya, usaha kerjasama antara Kementeriannya dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menyelaraskan dan menyeragamkan proses dan garis panduan permohonan dan pelulusan Pelan Bangunan dan Pelan Pembangunan di Sabah diteruskan pada tahun 2024.
“Saya yakin dengan usaha bersama Kementerian saya dan pihak MPC, ia dapat menghasilkan satu garis panduan yang bukan sahaja memenuhi keperluan pihak berkepentingan tetapi juga untuk mewujudkan suatu model pembangunan yang lebih telus dan mampan di Sabah.
“Kementerian saya juga telah menghasilkan satu garis panduan permohonan pengecualian tatacara tender dan sebut harga di peringkat PBT dengan mengambil pandangan, syor dan cadangan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sabah sebelum dikuatkuasakan. Garis panduan ini adalah untuk memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah jelas, tersusun dan telus sejajar dengan piawaian nilai etika dan tadbir urus yang berintegriti.
“Kementerian saya juga sedang dalam proses mengemaskini kesemua ‘Standing Order’ PBT untuk memastikan prosiding atau operasi PBT berjalan dengan lancar dan cekap selaras dengan perkembangan terkini. Pengemaskinian ‘Standing Order’ ini juga akan melibatkan perubahan atau pindaan berbangkit kepada undang-undang utama iaitu Local Government Ordinance 1961 bagi menyelaraskan keseluruhan struktur perundangan untuk tadbir urus yang lebih berkesan dan efektif,” katanya.
Untuk makluman awal, Dr. Joachim berkata, undang-undang kecil seragam yang sedang dalam proses pewartaan adalah Undang-Undang Kecil Penyediaan Tempat Letak Kenderaan Awam Seragam 2022 dan Undang-Undang Kecil Kerja Tanah Seragam 2022.
“Pada masa yang sama, Kementerian saya juga akan membuat pindaan tambahan kepada Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) Pindaan 2023 yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 10 Ogos yang lalu.
“Kementerian saya akan meneliti dan mengkaji semula penambahbaikan kepada prosedur semasa dan juga peraturan-peraturan berkaitan projek perumahan di Sabah bersama dengan pihak berkepentingan,” katanya.
Pelaksanaan Program Dan Perancangan
Selaras dengan usaha memperkasa agensi dan mensejahterakan rakyat ini, Dr. Joachim berkata, KKTP akan meneruskan beberapa program yang lalu, berdasarkan kepada jumlah peruntukan yang diberikan.
Katanya, antara program yang diteruskan ialah:
a. Program pembangunan landskap dan I-Hijau;
b. Pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan PBT;
c. Pengurusan sisa pepejal;
d. Perancangan dan pembangunan bandar-bandar / pekan-pekan baru;
e. Perancangan dan pembangunan perumahan focus kepada Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik;
f. Perancangan Guna Tanah dan penyediaan Pelan Tempatan;
g. Pemerkasaan Komuniti di PBT;
h. Pemantapan dan pengukuhan pentadbiran dan pengurusan Mahkamah Anak Negeri; dan
i. Tindakan mencapai Sustainable Development Goals (SDGs) dengan penyediaan SDGs Road Map di Pihak Berkuasa Tempatan. Antara PBT yang akan terlibat dalam pembentangan Volunteer Local Review (VLR) adalah Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Daerah Kota Belud.
14) Selain itu, kementerian saya juga telah merancang untuk memastikan perkara berkaitan dengan peningkatan dan pengukuhan kecemerlangan perkhidmatan iaitu:
a. Pewujudan Jawatankuasa Bandar Pintar untuk penyediaan Blueprint Bandar Pintar Negeri Sabah. Ini selaras dengan permintaan KPKT;
b. Pemantapan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan;
c. Sasaran mencapai tahap mampan dalam Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (Malaysian Urban-Rural National Indicators Network for Sustainable Development). Satu pendekatan yang dapat mengukur dan menilai kemampanan sesebuah bandar serta kawasan gabungannya melalui penggunaan penunjuk bandar;
d. Pencapaian sekurang-kurangnya 3 Bintang ke atas STAR RATING PBT;
e. Pemantapan Peranan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) di Negeri Sabah melalui usaha memperkenalkan program komuniti. Perkara ini akan dikemukakan untuk mendapatkan peruntukan tambahan kelak; dan
f. Mengemukakan permohonan-permohonan Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada pihak KPKT.


































