Dr. Joachim (tengah) berbual bersama dengan ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob (kanan) dan ADUN Pitas, Dato’ Seri Ruddy Awah sebelum bermulanya sidang DUN hari ini.
KOTA KINABALU: Lembaga Perumahan dan Perancangan Bandar (LPPB) sedang mengenal pasti tapak sesuai di DUN Kapayan bagi pelaksanaan Program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR).
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, tapak-tapak sedia ada telah dibangunkan sepenuhnya oleh pihak LPPB.
“Program PAKR khas untuk golongan berpendapatan rendah dan B40 ini dicadangkan dilaksanakan dalam RMK13 tertakluk kepada ketersediaan tanah dan kelulusan peruntukan kewangan,” katanya ketika menggulung untuk Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan oleh Jannie Lasimbang (Kapayan) mengenai LPPB perlu membina lebih banyak rumah kos rendah bagi golongan B40 di Kapayan dengan membina rumah sewa milik.
Bagi menjawab kenyataan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) berkenaan rumah pangsa yang ditawarkan kepada penduduk sangat daif dan rosak, Dr. Joachim memaklumkan bahawa keadaan rumah sebelum diserahkan kepada penyewa sememangnya dibersihkan terlebih dahulu termasuk pembaikan asas seperti pintu, tingkap, peralatan sanitari dan pendawaian letrik.
Sekiranya ada kotoran, ia adalah yang ditinggalkan oleh penyewa terdahulu yang sudah keluar atau tamat penyewaan, jelasnya.
Berhubung dengan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebbatik) yang bertanya bilakah rumah kedai Fasa 1 oleh LPBB di Bandar Baru Kalabakan akan bermula, Dr. Joachim berkata, pembangunan rumah kedai Fasa 1 oleh LPPB di Bandar Baharu Kalabakan hanya akan dimulakan setelah geran tanah dipindah milik kepada LPPB dan setelah cadangan pembangunan tersebut mendapat kelulusan dari Jemaah Menteri.
Bagi menjawab pertanyaan Arunarnsin Taib (Gum Gum) terhadap status PPR Jual Beli, Dr. Joachim berkata, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa status PPR di Sabah adalah PPR Disewa.
Persoalan mengenai cadangan mewujudkan kampung tersusun, beliau berkata, ianya dalam pemerhatian pihak KKTP.
Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada ketersediaan lokasi yang sesuai, tambahnya.
Mengenai pandangan Jannie agar KKTP melantik Pengurusan Rumah (MC) yang bertanggungjawab, Dr. Joachim menjelaskan bahawa mengikut Land Subsidiary Enactment, sebelum geran subsidiari diperolehi dan dipindah milik kepada nama pembeli rumah, pelantikan Pengurusan Bangunan (Management Corporation) adalah dibawah tanggungjawab pemaju sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, Kementerian saya telah mengambil pendekatan terhadap mana-mana pembangunan bertingkat yang mempunyai pengurusan bangunan untuk mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Bersama “Joint Management Committee” (JMC).
“JMC ini adalah satu jawatankuasa yang dianggotai dan ditadbir bersama oleh pemilik, pihak pengurusan dan pemaju sendiri. Peranan JMC adalah untuk menentukan caj penyelenggaraan, menyelenggara harta bersama di sesebuah Taman Perumahan dan memastikan laporan audit dibuat pada setiap tahun. Ianya juga merupakan satu pendekatan di mana para pemilik boleh berlatih untuk mengurus bangunan mereka sendiri apabila geran tanah subsidiari telah didaftar atas nama mereka.
“Selain itu, bagi memperkasakan lagi undang-undang yang berkaitan dengan bangunan-bangunan bertingkat, Kementerian saya juga dalam usaha dan sedang menggubal undang-undang berkaitan tentang pengurusan bangunan iaitu “Building Management Enactment” untuk dilaksanakan di negeri Sabah.
“Walau bagaimanapun undang-undang tersebut masih lagi di dalam peringkat kajian dan penelitian Kementerian untuk diperhalusi,” jelasnya.
Cukai Pintu dan SES Tanah
Menjawab kenyataan dan pertanyaan Datuk Suhaimi Haji Nasir (ADUN Dilantik) mengenai kegagalan pihak Majis Perbandaran Sandakan (MPS) mengutip tunggakan cukai pintu dan ses tanah majlis dan Perancangan MPS untuk mempertingkatkan kutipan tunggakan, Dr. Joachim berkata, KKTP mengambil berat pencapaian kutipan hasil berasaskan cukai di PBT.
“Ini kerana kutipan hasil cukai ini adalah pendapatan utama PBT. Berkenaan dengan prestasi MPS ini, Kementerian saya sentiasa memantau dan mengadakan perbincangan bersama MPS untuk membincangkan perkara ini,” katanya.
Sehubungan itu katanya, KKTP melalui MPS telah dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan berterusan dalam mengurus tunggakan cukai pintu dan ses tanah seperti berikut:-
a. Melantik tambahan ejen mengutip tunggakan cukai pintu dan ses tanah;
b. Menambahbaik sistem penyampaian notis peringatan tuntutan bayaran tunggakan;
c. Menambahbaik dan mempelbagaikan kemudahan pembayaran seperti menambah pusat kaunter pembayaran cukai/ses tanah dan pembayaran secara online dengan menggunakan aplikasi MPSPay https://payment.mpsdk.gov.my;
d. Mengadakan kempen dan promosi membayar tunggakan seperti memberi pengecualian faedah atau denda lewat bayar dan kempen kesedaran pentingnya membayar tunggakan cukai pintu bersama warga Sandakan;
e. Mengiklankan nama-nama penghutang dalam surat akhbar tempatan;
f. Mempertingkatkan tindakan saman terhadap penghutang melalui Jabatan Perundangan Majlis dan Panel Peguam MPS; dan
g. Mengambil tindakan lebih tegas dengan menyenarai hitam nama-nama penghutang dalam agensi pelaporan kredit (APK) seperti CTOS Data System Sdn Bhd (CTOS).
“Untuk makluman, perancangan MPS akan datang adalah memperbanyakkan lagi libat urus bersama masyarakat terutama pemilik harta bagi memberi pemahaman mengenai cukai pintu dan ses tanah agar kutipan meningkat,” katanya.
Bagi pertanyaan Justin Wong (Sri Tanjung) mengenai semakan cukai Pintu Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang telah dilaksanakan dua kali,Dr. Joachim berkata, MPT telah melaksanakan penilaian semula terakhir pada tahun 2003 dan merupakan aras nilaian diguna pakai sehingga hari ini.
“MPT belum bercadang untuk melaksanakan penilaian semula dalam masa terdekat.
“Walau bagaimanapun, MPT sentiasa melaksanakan kemaskini senarai penilaian pada setiap tahun untuk memastikan cukai pintu tambahan dilaksanakan ke atas pembangunan baru dan pengubahsuaian yg dilaksanakan ke atas hartanah berkadar,” jelasnya.
Bagi pertanyaan daripada Justin adakah keperluan menaikkan cukai pintu, Dr. Joachim berkata, ya, ia wajar dinaikkan atas sebab-sebab seperti berikut:
a. Gaji minimum yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia semakin meningkat bermula tahun 2003 sehingga 2023 iaitu RM 450.00 kepada RM 1,500.00 sebulan. Peningkatan sebanyak 182% ke atas gaji minimum;
b. Kenaikan harga minyak diesel. Peningkatan sebanyak 233% iaitu RM 0.76 seliter pada tahun 2003 kepada RM 2.15 seliter pada tahun 2023;
30) Kenaikan kos ini memberi impak yang sangat besar kepada kos operasi Majlis dalam tanggungjawab untuk menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Isu Pewujudan PBT
Dr. Joachim turut mengambil perhatian dengan saranan Hassan A Gani mengenai keperluan mewujudkan Majlis Daerah Kalabakan yang perlu dipercepatkan.
“Bagi Menjawab persoalan ADUN Sebatik ini, dimaklumkan bahawa KKTP telah mengadakan perbincangan dengan pihak MPT dan Pejabat Daerah Kalabakan.
“Pihak Kementerian mendapati pewujudan Majlis Daerah Kalabakan pada masa ini belum dapat direalisasikan. Ini berdasarkan keupayaan pembangunan dan hasil yg sedia ada belum mencukupi.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada MPT, hasil tahunan yang boleh dikutip adalah RM64,000 sebulan atau RM770,731 setahun yang merangkumi kutipan ses tanah, cukai pintu, lesen operasi. Walau bagaimanpun, anggaran perbelanjaan sebulan adalah RM100,000 yang merangkumi kos pengoperasian dan emolumen kakitangan.
“Manakala jumlah penduduk di Daerah Kalabakan adalah 46,666 orang, menurut Pejabat Daerah Kalabakan,” katanya.


































