Dr. Joachim berbincang bersama Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sebelum sidang DUN bermula
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dalam rangka penyelarasan terhadap usaha pengurusan setinggan yang telah disediakan sebelum ini, katanya Menterinya Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Menurutnya, beberapa siri mesyuarat dan perbincangan telah dibuat oleh Jawatankuasa Khas Menangani isu setinggan dan Jawatankuasa Teknikal.
“Kita menjangkakan pelan pengurusan yang lebih jelas dengan memasukkan “lock figure”, pelan tindakan dan timeline pengurusan setinggan akan dimuktamadkan dan dikemukakan untuk kelulusan Kabinet Negeri,” katanya ketika menggulung untuk KKTP pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) mengenai pengurusan setinggan yang disediakan yang ada pelan jangka panjang dan pelan jangka pendek tetapi tidak ada polisi setinggan yang jelas dan timeline.
Kepada isu dikemukakan Rina Haji Jainal (Kukusan), Dr. Joachim berkata, semua perkara berkaitan dengan terma dan syarat setinggan di Sabah sedang diperhalusi dalam penyediaan Pelan Pengurusan Setinggan Negeri Sabah.
Isu Berkaitan Mahkamah Anak Negeri
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) sedang dalam usaha untuk membangun dan menaik tarafkan modul latihan yang sedia ada ke arah pengiktirafan dan pensijilan Ketua-Ketua Adat dan kakitangan Mahkamah Anak Negeri (MAN) bagi meningkatkan keberkesanan dan kemahiran dengan kerjasama Borneo Institute For Indigenous Studies (BORIIS).
Katanya, melalui kerjasama ini, program latihan yang lebih efektif akan diperkenalkan secara berfasa ke arah mewujudkan silibus pembelajaran pengajian Diploma Undang-Undang Adat Anak Negeri yang akan memberi peluang bukan sahaja kepada pengamal adat tetapi juga kepada orang awam.
“Berkenaan dengan jawatan tetap di MAN, terdapat 134 jawatan yang telah diluluskan di Mahkamah Anak Negeri merangkumi jawatan Penolong Pegawai Tadbir (N29), Pembantu Tadbir (N22), Pembantu Tadbir (N19), Pembantu Setiausaha Pejabat (N19), Pembantu Operasi (H11) dan Pembantu Awam (H11). Untuk makluman, sebahagian daripada jawatan ini telah pun diisi, manakala sebahagian yang lain sedang dalam proses pelantikan oleh Pihak Berkuasa Melantik Negeri,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Ewon Benedick (Kadamaian).
Mengenai keperluan bangunan MAN di setiap daerah yang dikemukakan oleh Ewon dan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Dr. Joachim berkata, KKTP melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sedang dalam usaha untuk memastikan setiap daerah mempunyai MAN sendiri di setiap daerah.
Katanya, setakat ini terdapat tujuh buah MAN yang telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya di Sabah yang telah dibiayai di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
“Terdapat 10 buah MAN yang telah disenaraikan di bawah RMK-12 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM32,343,067 di bawah biayaan Kerajaan Persekutuan dan RM6,500,000 di bawah biayaan Kerajaan Negeri iaitu, MAN Ranau, MAN Tamparuli, MAN Tongod, MAN Putatan, MAN Sook, MAN Nabawan, MAN Kota Kinabalu, MAN Papar, MAN Paitan dan MAN Pagalungan.
“Beberapa buah lagi telah diangkat untuk dimasukkan ke dalam perancangan RMK13 iaitu MAN Kota Belud, MAN Beluran, MAN Tenom, MAN Kemabong, MAN Kinabatangan, MAN Sipitang, MAN Tawau, MAN Kuala Penyu, MAN Membakut, MAN Semporna, MAN Pitas dan MAN Telupid.
“Bagi pembinaan MAN di DUN Sindumin, setakat sekarang belum ada perancangan untuk pembinaan MAN bagi DUN Sindumin kerana pembinaan MAN Sipitang telah pun dicadangkan di bawah RMK13,” jelasnya.
Mengenai cadangan Datuk Hamild Hj Awang (Balung) agar MAN Tawau dibina kerana pejabat sedia ada menumpang di Bangunan MPT selama 45 tahun dan keadaannya kecil, sempit, tiada bilik khas dan staff seramai 13 orang iaitu tidak kondusif dan terdapat tanah tersedia di Jalan Utara Tawau berkeluasan 1.13 ekar, Dr. Joachim berkata, pembinaan MAN Tawau telah diangkat untuk dimasukkan ke dalam senarai projek MAN yang dicadangkan di bawah RMK13.
Kementerian mengambil maklum ketersediaan tapak tanah yang telah dicadangkan untuk tindakan susulan, tambahnya.
Manakala saranan Jannie Lasimbang (Kapayan) agar mempercepatkan pengujudan Jabatan Kehakiman Anak Negeri bagi memartabatkan MAN, Dr. Joachim menjelaskan bahawa pada masa ini, ia sedang dalam proses penyediaan Kertas Kabinet oleh Jawatankuasa Kerja di bawah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
“Proses ini turut melibatkan penggubalan enakmen baharu dan pindaan enakmen sedia ada yang berkaitan Mahkamah Anak Negeri Sabah,” katanya.
Isu Pelantikan Ketua Adat
Menjawab saranan pelantikan Ketua Adat oleh Ewon, Dr. Joachim menjelaskan bahawa ia memang memerlukan syor pelantikan daripada Wakil Rakyat di kawasan tersebut dan perlu diperakukan oleh Pegawai Daerah sebelum permohonan tersebut diterima dan diproses oleh Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
Mengenai pandangan Jannie mengenai dasar pelantikan Ketua-ketua Adat perlu konsisten dan tidak berubah-ubah, beliau berkata, dasar pelantikan Ketua-ketua Adat buat masa kini masih kekal mengikut garis panduan yang telah disediakan pada tahun 2020.
“Sebagai penambahbaikan, telah diputuskan semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Oktober 2023 bahawa tiada had tempoh masa lantikan Ketua Adat Negeri Sabah dan tertakluk kepada Wakil Rakyat memutuskan tempoh lantikan mereka selagi diperlukan dan boleh ditamatkan berdasarkan rekomendasi Wakil Rakyat di kawasan berkenaan; dan pelantikan Ketua Adat Negeri Sabah melebihi 60 tahun dan sihat tubuh badan, hendaklah mendapat kebenaran daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Wakil Rakyat yang berkaitan,” ujarnya.


































