Masidi membentangkan Belanjawan Sabah 2024.
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Negeri meneruskan komitmen dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM813.56 juta untuk menyokong pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Sektor Pertanian
Menurut beliau, Kerajaan Negeri berusaha meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian untuk memastikan tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) semua bekalan bahan makanan terus meningkat.
Justeru itu, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan lagi usaha untuk memajukan sektor pertanian, katanya, sambil menambah pelbagai inisiatif dan inovasi diperkenal dan dilaksanakan melalui program-program pembangunan tanaman, akuakultur, penternakan, perladangan getah dan pembangunan usahawan tani.
Jelasnya, bagi menyahut cabaran keterjaminan makanan asas terutamanya beras, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut bagi meningkatkan SSL beras daripada 22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada tahun 2025:
* Penubuhan semula Lembaga Padi Dan Beras Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.82 juta untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran;
* Pemberian Insentif Pembajakan Sawah Padi dengan peruntukan sebanyak RM18 juta;

* Pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada semua pengusaha dengan peruntukan sebanyak RM5.16 juta; dan
* Kajian terhadap varieti padi yang sesuai ditanam di kawasan sawah padi yang dimasuki air masin khususnya Pantai Timur Sabah akan diteruskan dan teknologi tanaman padi tanah kering juga akan diperkenalkan kepada petani.
“Bagi menjadikan Sabah sebagai salah satu hab makanan serantau, satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) telah dikenalpasti dan akan dibangunkan di Sungai Lokan, Kinabatangan. Ini menjadikan sejumlah 16 TKPM dibangunkan dengan jumlah keluasan 592.87 hektar dan melibatkan seramai 183 peserta.
“Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran juga sedang menerokai satu bidang baharu penyelidikan iaitu bioteknologi tumbuhan khususnya biologi molekul bagi menghasilkan varieti baharu yang mempunyai tempoh masa matang yang singkat, tahan terhadap serangan penyakit dan mengeluarkan hasil tanaman yang berkualiti,” kata Masidi ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Bagi sub-sektor perikanan yang merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK di bawah sektor pertanian bagi tahun 2022 dengan Imbangan Perdagangan (BoT) dalam sektor ini menunjukkan angka positif lebih kurang RM600 juta hingga RM900 juta setiap tahun, beliau berkata, sebanyak RM41.61 juta diperuntukkan bagi meneruskan program-program pembangunan dan sokongan yang membantu menjamin pengeluaran hasil perikanan untuk pasaran domestik dan
Bagi sub-sektor tanaman yang lain, tumpuan akan diberi kepada pelaksanaan antarabangsa.
Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak RM10.43 juta telah diperuntukkan di bawah pembangunan untuk membiayai antara lain seperti aktiviti konservasi melalui penempatan tukun tiruan dan aktiviti tagal.
“Di samping itu, usaha penguatkuasaan bagi menangani isu Illegal, Unreported, and Unregulated Fishing dipergiatkan terutamanya isu pengeboman ikan. Hasil daripada penguatkuasaan tersebut, sebanyak 49 kes dengan 4 kes mahkamah berjaya direkod oleh Jabatan Perikanan Sabah pada tahun ini.”

Masidi berkata, Kerajaan Negeri berhasrat untuk meneroka Ekonomi Biru yang bertujuan untuk pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Jelasnya, Konsep Ekonomi Biru ini merupakan penerokaan sumber laut yang menekankan pengurusan marin dan pantai secara lestari. Sebagai contoh pemuliharaan hutan bakau, perikanan dan akuakultur, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan rekreasi, perubahan iklim dan lain-lain.
“Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan penerokaan baharu ini dengan kerjasama pelabur-pelabur asing yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru pada bulan Februari tahun 2024.”
Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) diperuntukkan sebanyak RM15.99 juta bagi meneruskan pelaksanaan program dan projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada komuniti nelayan, pengusaha kecil dan sederhana serta pembangunan industri perikanan dan akuakultur.
Bagi sub-sektor ternakan, Masidi berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM99.05 juta bagi perbelanjaan mengurus serta pelaksanaan 43 projek pembangunan yang bertujuan untuk meningkatkan keterjaminan makanan berasaskan ternakan yang berkualiti dan meningkatkan tahap keselamatan makanan.
Di samping itu, tambahnya, pelbagai program dilaksanakan bagi membantu para pengusaha dalam industri ternakan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pendapatan.
“Korporasi Pembangunan Desa (KPD) yang diperuntukkan sebanyak RM21 juta turut menyokong usaha kerajaan melaksanakan program keterjaminan makanan terutamanya pengeluaran hasil penternakan ayam pedaging dan ayam kampung.
“Usaha ini akan memberi impak dalam peningkatan hasil pertanian dan makanan dalam negeri serta memberi peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan kepada seramai 1,580 peserta luar bandar golongan B40.

“Selain daripada kerjasama dengan pekebun-pekebun dan penternak kecil, kerjasama dan penglibatan Agensi Awam Negeri adalah dialu-alukan. Setakat ini, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah juga telah menunjukkan komitmen untuk terlibat dalam usaha ini.”
Bagi program menaiktaraf infrastruktur pengairan dan saliran di seluruh negeri, beliau berkata, sebanyak RM168.34 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus, pembangunan dan Bayaran Balik Persekutuan.
Pelaksanaan program pengairan dan saliran bukan sahaja dapat meningkatkan pembolehdaya pengeluaran padi negeri tetapi juga mengurangkan kesan bencana banjir terhadap nyawa, harta benda dan kehidupan harian rakyat, katanya, sambil menambah, antara lain projek yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan ialah projek Menaik taraf Skim Pengairan Gana Tambunan dan Projek Rancangan Tebatan Banjir Tambalang Pendamai, Tuaran.
“Kerajaan Negeri senantiasa mengambil berat nasib dan kebajikan para pekebun kecil getah. Justeru itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan Insentif Pengeluaran Untuk Para Pekebun Kecil Getah sebanyak RM20 juta untuk mengimbangi ketidakstabilan harga getah semasa.
“Selain itu, sebanyak RM17.01 juta diperuntukkan kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) untuk tujuan perbelanjaan pembangunan dan mengurus. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan asas industri ini, memastikan ia kekal relevan dan bersaing di persada antarabangsa.”

Sektor Perindustrian
Masidi berkata, kepesatan pertumbuhan sektor perindustrian di Sabah telah menarik kemasukan pelaburan-pelaburan baharu.
“Ini terbukti apabila Sabah telah tersenarai sebagai negeri kelima tertinggi menerima pelaburan asing dan domestik dengan jumlah nilai RM9 bilion di sektor-sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan setakat pertengahan tahun 2023.
“Justeru itu, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM124.06 juta untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi melonjakkan lagi pembangunan sektor ini,” katanya.
Berkongsi sedikit perkembangan berkaitan pelaburan asing di Sabah yang telah mewujudkan nilai tambah dan merancakkan pembangunan sektor perindustrian di negeri ini, beliau berkata, pelaburan Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing dari China telah membawa masuk pelaburan sebanyak RM6.76 bilion ke Sabah.
Setakat bulan Oktober 2023, status kemajuan pembinaan kilang kerajang tembaga (copper foil) Syarikat SK Nexilis di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) mencapai 96.8 peratus dan telah memberikan pekerjaan kepada seramai 2,295 atau 56 peratus anak Sabah di peringkat pembinaan kilang, manakala seramai 275 atau 91 peratus pula terlibat dalam pengoperasian kilang.
Kilang ini telah mengeluarkan dan mengeksport kerajang tembaga yang pertama berjumlah 102 tan ke Amerika Syarikat pada 23 Oktober 2023 yang lalu. Selain itu, Syarikat SK Nexilis melalui syarikat subsidiarinya telah menambah pelaburan di Sabah bagi kilang copper granulation di KKIP dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM300 juta.
Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan sebanyak 70 peluang pekerjaan.
Manakala, status kemajuan pembinaan kilang pembuatan kaca solar (solar panel) oleh syarikat Kumpulan Kibing di KKIP telah mencapai tahap 72 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2024. Sementara itu, pembinaan kilang pemprosesan pasir silika oleh syarikat yang sama di Sikuati, Kudat telah mencapai 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini. Pada masa ini, bilangan anak Sabah yang bekerja di kilang pembuatan kaca solar di KKIP adalah seramai 1,100 orang dan seramai 164 orang bekerja di kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati, Kudat.

“Usaha gigih Kerajaan Negeri menarik pelaburan ke Sabah ternyata membuahkan hasil. Sebuah syarikat baharu diterajui oleh pelabur asing yang berpangkalan di Singapura iaitu Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. (ESTEEL Sabah) telah melabur dalam projek keluli hijau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP). Nilai pelaburan tersebut mencecah sehingga RM19.8 bilion melalui tiga fasa pelaburan dan dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan untuk anak Sabah,” kata Masidi.
Bagi pelaburan domestik pula, katanya, pada tahun ini, Syarikat Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd. dengan anggaran pelaburan bernilai RM2 bilion melalui dua fasa pelaburan akan menerajui pembangunan sebuah kilang bersepadu klinker dan simen di daerah Tongod. Pelaburan ini akan mewujudkan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan sekaligus akan meningkatkan taraf Tongod sebagai daerah yang berdaya maju.
“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM38 juta kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), KKIP Sdn. Bhd., POIC Sabah Sdn. Bhd. dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) bagi melancarkan kerjasama pelaksanaan pelaburan dan projek-projek terpilih. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM28.79 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di KKIP, SOGIP dan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu agar taman-taman perindustrian tersebut lebih kondusif untuk menarik pelaburan di Sabah.”
Masidi berkata, selain daripada menyokong kepada inisiatif bagi penggalakan kemasukan pelaburan asing dan domestik ke Sabah, Belanjawan 2024 juga menyokong kepada peningkatan kapasiti usahawan mikro dan perniagaan tempatan supaya berdaya saing dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui program-program yang dirangka oleh Kerajaan Negeri.
Menurutnya, pembangunan IKS adalah pemangkin utama kepada industri pembuatan. Pelbagai program keusahawanan dilaksanakan bagi melonjakkan pembangunan IKS melalui pembangunan kapasiti, berdaya tahan dan berdaya saing para usahawan IKS Sabah.
“Kolaborasi antara Kerajaan Negeri dengan Pasaraya Bataras dan Kedai Mesra Petronas akan diterus dan dipergiatkan lagi untuk memasarkan produk IKS Sabah. Usaha ini dapat memberi peluang kepada pengusaha IKS meningkatkan hasil jualan. Kita harus sedar bahawa, banyak produk tempatan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa jika diberi peluang dan diterokai lebih lanjut.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus menghantar penyertaan usahawan tempatan ke ekspo bertaraf antarabangsa antaranya ke Gulfood Dubai di Emiriah Arab Bersatu dan World’s Food Expo (WOFEX) di Manila, Filipina.
“Penglibatan usahawan kita dalam ekspo antarabangsa ini akan memberi pendedahan serta pengalaman untuk mempelajari bagaimana sesuatu produk dipasarkan dengan efektif sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Masidi berkata, pembangunan modal insan adalah pemacu signifikan pertumbuhan ekonomi negeri dan pentingnya ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.
Maka, katanya, bagi merealisasikan aspirasi tersebut, Belanjawan 2024 juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran tinggi melalui pelaksanaan pelbagai program seperti Program Pemerkasaan Usahawan Sabah dan Program Tunas Niaga.
Kerajaan Negeri juga melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan akan meneruskan Program Bantuan SME-UP dengan peruntukan sebanyak RM15 juta. Setakat ini, program ini telah berjaya melahirkan lebih lima ribu usahawan IKS Sabah.
Masidi turut memperkenalkan Anita Mohamed yang berasal dari Lahad Datu, iaitu seorang peserta Program Bantuan SME-UP, pemilik syarikat Bumiputera AFCL BIOSCIENCE SDN. BHD. yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan domestik dengan pelbagai jenis produk kosmetik dan minyak wangi. Dengan kegigihan dan berkat usaha ini, beliau sedang menikmati kejayaan nilai jualan domestik dan eksport produk yang mencecah RM4.75 juta setahun.
Manakala, seorang lagi usahawan sosial iaitu Emily Jeneble yang berasal dari Keningau, merupakan pemenang Program Pitchborneo melalui idea ‘Evolusi Kraf Batu Lunguyan’. Beliau telah berjaya menerima banyak anugerah dalam negeri dan juga luar negara seperti International Craft Award 2023 yang merupakan anugerah pencapaian sepanjang hayat terhadap sumbangan dalam pembangunan kraf dan pembabitan masyarakat.
“Hari ini saya turut menggunakan produk beliau iaitu beg fail dengan corak kelarai bermotif “Pinuru langsat” yang menjadi jata perpaduan dan paper holder dari anyaman buluh dengan motif “sinulih” yang bermakna ikatan dan kerjasama.
“Kerajaan Negeri telah menghadiahkan Vinatu Folder produk Puan Emily kepada setiap Ahli Dewan bagi menyokong produk beliau. Ini adalah tanda sokongan padu Kerajaan Negeri, bukan sahaja kepada kekayaan warisan tradisi Sabah, tetapi juga kepada industri kreatif tempatan yang menjana ekonomi akar umbi,” katanya.
Selain itu, jelasnya, program peningkatan ilmu dan kemahiran kumpulan sasar dan belia juga dilaksanakan melalui Program Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Usahawan Ko-Nelayan yang diperuntukkan sebanyak RM6.99 juta pada tahun 2024.

“Program-program tersebut akan memanfaatkan lebih 100 orang dari kalangan nelayan artisanal, usahawan kecil hiliran perikanan dan akuakultur. Skim bantuan bagi membantu golongan ini meluaskan skala perusahaan dan meningkatkan produktiviti,
output serta pendapatan daripada hasil perusahaan mereka,” tambahnya.
Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah turut menggalakkan kegiatan usahawan luar bandar untuk mengusahakan produk tempatan seperti pembuatan gong, gubahan bunga, pembuatan manik dan produk makanan berasaskan bahan tempatan.
Untuk tujuan ini, kata Masidi, sebanyak RM2.41 juta diperuntukkan di bawah Program Satu Daerah Satu Produk, Pembangunan Usahawan Desa dan Program Industri Desa.
“Projek pembangunan rumah kedai akan memanfaatkan peniaga dan usahawan tempatan seterusnya melonjakkan perkembangan industri IKS. Oleh itu, sebanyak RM8.9 juta diperuntukkan bagi pembinaan serta menaiktaraf kedai dan hotel di Pulau Bum-Bum Semporna, kedai-kedai di Kalabakan, Matunggong dan Weston serta kedai sosioekonomi Kg. Padas Damit, Beaufort.
“Selain itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan empat (4) lagi Pusat Produk IKS atau IKS Mart di Sandakan, Keningau, Kalabakan dan Luyang. Ini adalah susulan daripada kejayaan IKS Mart sedia ada antaranya IKS Mart di Beaufort, Tuaran, Kota Marudu dan Ranau serta di Oceanus Mall Kota Kinabalu. Inisiatif ini akan membantu membangunkan sektor IKS dengan menyediakan ruang kepada usahawan-usahawan tempatan untuk mengumpul, mempromosi dan menjual keluaran usahawan tempatan dari seluruh daerah sekaligus meningkatkan hasil jualan dan eksport ke negara-negara jiran.
“Bagi menyokong pembangunan IKS di Sabah, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pinjaman Sabah sedang mempertimbangkan Program Mikro Kredit iaitu Skim Pembiayaan Pinjaman kepada usahawan dan peniaga kecil luar bandar dengan menawarkan kadar faedah yang berpatutan. Program ini dijangka akan memanfaatkan seramai 160 bakal usahawan baharu dan perniagaan kecil sedia ada.”
Sektor Pelancongan
Menurut Masidi, Sabah kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong.
Katanya, setakat Jun 2023, seramai 1.2 juta kedatangan pelancong direkodkan dengan anggaran RM2.45 bilion resit pelancongan.
“Jumlah ini meningkat sebanyak 69.1 peratus berbanding hanya seramai 708,641 orang dengan RM1.19 bilion resit pelancongan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Peningkatan ini menunjukkan bahawa sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan tahun 2024,” jelasnya.
Katanya, kepesatan pertumbuhan industri pelancongan Sabah ini disokong dengan rangkaian udara yang lebih baik.
“Pada ketika ini, Sabah memperolehi sebanyak 367 penerbangan domestik dengan 61,237 kapasiti tempat duduk seminggu ke bandar-bandar utama di Malaysia. Bagi sektor penerbangan antarabangsa pula, Sabah kini dihubungkan ke 15 destinasi antarabangsa iaitu dengan 120 penerbangan seminggu dan 21,592 kapasiti tempat duduk.
“Sebagai persediaan ke arah penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri turut mengaktifkan acara ikonik seperti Mount Kinabalu International Climbathon dan Sabah Fest pada tahun hadapan.
“Selain itu, Biro Konvesyen Sabah yang telah diperuntukkan sebanyak RM5 juta pada tahun hadapan akan membantu dan memberi sokongan kepada organisasi dan persatuan untuk menganjurkan acara Meetings, Incentive, Conference, Events (MICE) di negeri ini. Inisiatif ini akan menarik delegasi Business Events yang berpotensi serta menjadikan negeri Sabah terkenal dengan pasaran leisure oleh para pelancong serta pengembangan kepada segmen Business Events.”
Masidi berkata, produk pelancongan seperti Pelancongan Berasaskan Komuniti merupakan segmen ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian dari pelbagai lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.
OIeh itu, Kerajaan Negeri akan mengoptimumkan pembangunan produk dan destinasi pelancongan luar bandar yang berpotensi untuk dibangunkan, dinaik taraf dan diselenggara dengan peruntukan sebanyak RM106.14 juta.
“Keistimewaan dan keunikan Sabah yang mempunyai kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum di Sabah adalah aset yang penting sebagai tarikan pelancong dan perlu terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan masyarakat negeri ini.
“Ini adalah selari dengan Pelan Induk Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020-2030 yang dilaksanakan merangkumi pembangunan Sistem Pemetaan Budaya, menaiktaraf kemudahan-kemudahan pelancongan, pemeliharaan dan pemuliharaan dokumentasi khazanah warisan dan budaya serta kawasan bersejarah. Justeru, peruntukan sebanyak RM39.19 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri sebagai tanda komitmen untuk membangunkan khazanah budaya dan sejarah sebagai produk pelancongan.”






























