Masiung ketika memberikan ucapannya
TELUPID: Menjadi seorang pemimpin politik memerlukan pengorbanan peribadi yang menjadi penanda aras setiap perjuangan, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.
Katanya, ramai pemimpin politik gagal meneruskan langkah ke hadapan kerana kekangan termasuk masalah kewangan.
“Hanya mereka yang benar-benar cekal sahaja mampu meneruskan kerjaya politik,” katanya ketika merasmikan Program Outreach Belia SMJ anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) di Telupid kelmarin.
Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim turut hadir pada program yang disertai kira-kira 70 peserta belia daripada kawasan Telupid dan Kuamut.
Masiung yang juga Ketua Bahagian Gagasam Rakyat Kuamut turut meminta terutama sekali golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah yang disebarkan di media sosial oleh blok pembangkang.
Katanya, media sosial ketika ini disalah guna pihak pembangkang sebagai medium untuk dijadikan senjata halus bagi menyerang pemimpin kerajaan.
Pemimpin parti-parti pembangkang yang bercita-cita tinggi sentiasa mencari jalan menjatuhkan Kerajaan dengan apa cara sekalipun termasuk menggunakan media sosial untuk menyebarkan dakyah dan fitnah.
“Fitnah merupakan senjata paling tajam digunakan untuk melemahkan sesebuah organisasi termasuk politik,” katanya.






























