Lokasi kejadian lelaki dipercayai dibaham buaya ketika mencuci pakaian dan mandi. – Ihsan Bomba
KINABATANGAN: Seorang lelaki maut dipercayai dibaham buaya ketika mencuci pakaian dan mandi di tebing sungai di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, PPgB Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, kejadian berlaku di Ladang Maisang Sime Darby Sukau, pada kira-kira jam 3 petang.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 3.10 petang dan sepasukan lima anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK II KUP Jerry John bergegas ke lokasi.
Tambahnya, setiba di tempat kejadian yang terletak 62 kilometer dari BBP itu pasukan bomba diberitahu terdapat seorang mangsa dikenali sebagai Kamirun Malul, 42, dilaporkan dibaham buaya di alamat berkenaan.
“Menurut saksi mangsa disambar buaya semasa mangsa sedang mencuci pakaian dan mandi di tebing sungai.
“Pasukan bomba mendapatkan maklumat mangsa dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan jeti,” katanya.
Nurul Azlan berkata, mangsa telah dijumpai oleh orang kampung tidak lama selepas itu pada jarak 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.
“Mangsa telah dibawa ke rumah keluarga dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 5.38 petang, tambahnya.


































