SEMPORNA: Regatta Lepa kali ke-28 akan berlangsung dari 17 hingga 19 November 2023 di Dataran Regatta Lepa, Semporna.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dijangka akan merasmikan festival yang bertemakan “Regatta Lepa: Lambang Perpaduan Masyarakat Madani” ini.
Festival ini akan menyaksikan pelbagai aktiviti antaranya adalah Sukan Laut, Perarakan Lepa Cantik dan Lepa Berhias, Sangom Maglami-lami, Pertandingan Budjang Manis dan Lalla Dorongan, Pertandingan Tagungguh, persembahan wama warni kebudayaan masyarakat Bajau Semporna, dan banyak lagi.
Festival Regatta Lepa yang diadakan setiap tahun di Semporna, merupakan sebuah perayaan yang menggambarkan kekayaan adat dan budaya suku kaum Bajau, menarik perhatian ribuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Tujuan festival ini adalah untuk melestarikan warisan budaya masyarakat Bajau Laut, mengukuhkan perpaduan, meningkatkan ekonomi tempatan melalui pelancongan, mempromosikan Semporna sebagai destinasi budaya, serta memelihara kemahiran membuat bot tradisional Lepa-lepa.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Christina Liew berkata,, Regatta Lepa merupakan salah satu warisan dan tarikan unik Sabah yang terkenal di seluruh dunia, dan ia berperanan sebagai pengikat budaya dan persatuan di kalangan masyarakat termasuklah dalam mempergiatkan lagi sektor pelancongan.
“Saya berharap bahawa acara ini akan memperkasakan lagi industri pelancongan Sabah, mengundang semua pihak untuk terus berusaha dan bekerjasama bagi mencapai visi bersama dan menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama yang dikenali di seluruh dunia dan bersama-sama mempromosikan acara-acara berkaitan pelancongan seperti acara ini,” tambahnya yang juga merupakan Penasihat bagi Jawatankuasa Penganjuran Regatta Lepa 2023.
Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew yang juga merupakan Pengerusi Pelaksana bagi Regatta Lepa Semporna 2023 berkata, festival pada tahun ini yang berlangsung selama tiga hari akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik dan beliau menjemput orang ramai untuk mengunjungi Semporna pada hari tersebut untuk sama-sama memeriahkan acara tersebut.
Festival tiga hari ini dianjurkan oleh KePKAS bersama-sama dengan Pejabat Daerah Semporna dan disokong oleh Lembaga Pelancongan Sabah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Tourism Malaysia.
Ia turut dijayakan bersama-sama dengan Unit-unit Pembangunan Masyarakat dan beberapa persatuan kebudayaan di Semporna.
Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh diperolehi melalui laman Facebook Pejabat Daerah Semporna ataupun boleh menghubungi terus ke Pejabat Daerah Semporna di talian 089-781518.


































