KUALA LUMPUR: Penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah hanya akan dilaksanakan setelah pelan transformasi SESB selesai dijangka pada tahun 2030.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyatakan ini dalam satu jawapan bertulis kepada soalan lisan daripada Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Walau bagaimanapun, Kementerian itu memaklumkan Kerajaan Persekutuan akan mewartakan Perintah di bawah Perkara 95C serta penggantungan penguatkuasaan akta-akta berkaitan pembekalan elektrik di Sabah berkuat kuasa pada 3 Januari, 2024.
Ia merangkumi Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447]; Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 [Akta 610]; Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 [Akta 725]; dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 [Akta 726].
Menurut NRECC, Kerajaan Sabah telah membuat persediaan yang sewajarnya untuk menyambut peralihan kuasa pembekalan elektrik berkenaan.
“Antaranya, menyediakan Draf Enakmen Bekalan Elektrik Negeri Sabah bagi menyambut peralihan kuasa dan penggantungan akta-akta yang berkaitan; serta melancarkan Energy Sabah Roadmap pada 19 September 2023 yang telah menetapkan sasaran dan hala tuju industri bekalan elektrik di negeri itu.
“Kerajaan Sabah juga telah mewujudkan Unit Tenaga Negeri Sabah di bawah kawal selia Pejabat Ketua Menteri Sabah yang berperanan sebagai pengantara Energy Commission of Sabah (ECoS) dengan Kerajaan Sabah serta bertanggungjawab dalam penggubalan dasar dan polisi mengenai pembekalan elektrik di Sabah,” ujar NRECC.
Kementerian berkenaan turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sabah juga mewujudkan dan memperkukuhkan ECoS sebagai agensi kawal selia (regulator) Industri Bekalan Elektrik di Sabah.
“Sehingga Ogos 2023, ECoS telah melaksanakan pengambilan 89 kakitangan dan mensasarkan pengambilan secara berfasa sehingga mencapai 100 kakitangan berkhidmat di ECoS.
“ECoS juga turut memperkukuhkan pengoperasian tadbir urus dengan menyediakan kemudahan logistik, pelantikan anggota suruhanjaya, penyediaan prosedur dalaman dan urusan pentadbiran untuk mengambil alih kawal selia bekalan elektrik dan Tenaga Boleh Baharu (TBB),” tambah NRECC.
Terdahulu, Madius dalam soalannya memohon NRECC menyatakan apakah persediaan yang dibuat oleh Kerajaan Sabah untuk memastikan agar kerangka urus tadbir bekalan elektrik apabila hal bekalan elektrik diserahkan semula ke Sabah.


































