Pasukan bomba membawa mayat mangsa ke PKB sebelum diserahkan kepada pihak polis. – Ihsan Bomba
PENAMPANG: Seorang budak lelaki lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika bermain bersama rakan-rakannya di Kampung Inobong, di sini, petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tinggalan berkata, mayat mangsa, Ashley Preston Hartley, 13 , berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini, kira-kira 12 jam selepas kejadian itu.
Beliau berkata, kejadian berlaku di Kampung Inobong pada kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Katanya, sepasukan 11 anggota diketuai beliau sendiri sebagai Komander Operasi, bersama sebuah jentera FRT, EMRS dan Vigo bergegas ke lokasi itu selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Setiba di lokasi kejadian yang terletak 6.5 kilometer dari BBP itu, kita dapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki, Ashley Preston Hartley, 13, telah terjatuh ke dalam sungai semasa bermain di tepi sungai bersama empat orang rakan yang lain.
“Kami mendapatkan maklumat terperinci dan seterusnya menjalankan operasi SAR di kawasan mangsa dilaporkan jatuh dan di sepanjang pinggir sungai.
“Operasi SAR kelmarin ditangguhkan pada jam 12.30 tengah malam dan disambung pada pagi hari ini,” katanya.
Tambahnya, operasi SAR hari ini dijalankan pada jam 6 pagi di sepanjang sungai menggunakan bot dan teknik menyusuri tebing sungai berjalan kaki oleh anggota penyelamat (Surface Searching).
Pasukan bomba berjaya menemukan mangsa di lokasi 1.3 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan jatuh.
“Mangsa seterusnya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) sebelum diserahnya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 7.51 pagi,” katanya.


































