Andi (duduk, empat dari kanan) bergambar bersama dengan tetamu yang hadir dalam Program Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak 2023 Peringkat Daerah Tawau yang diadakan di SK Wallace Bay, Tawau
TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy memandang serius bilangan kes berkaitan kanak-kanak yang sangat tinggi direkodkan di daerah ini.
Beliau yang juga ADUN Tanjung Batu berkata, data Pejabat Kebajikan Daerah Tawau menunjukkan terdapat sebanyak 155 kes melibatkan kanak-kanak direkodkan di daerah ini setakat September tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, 12 kes melibatkan kes akhlak, manakala kes pemeliharaan dan perlindungan (120 kes); kes kanak-kanak tidak terkawal (satu); kes pesalah kanak-kanak (satu); kes nikah bawah umur (dua); dan kes anak pelihara, anak angkat dan orang layak dan sesuai (19).
Pada tahun lalu, sebanyak 324 kes kanak-kanak telah direkodkan di daerah ini, manakala pada tahun 2021, sebanyak 171 kes.
“Ini menunjukkan peranan dan pengetahuan masyarakat terhadap pentingnya memelihara kesejahteraan kanak-kanak sangat lemah atau kurang di daerah ini.
“Banyak punca atau kemungkinan yang menjadi penyebab kepada tingginya kes-kes yang melibatkan kanak-kanak yang didaftarkan di pejabat ini. Antara yang menjadi penyumbang kepada terdaftarnya kes-kes melibatkan kanak-kanak adalah kepekaan masyarakat untuk membuat laporan termasuklah daripada pihak berwajib,” katanya ketika merasmikan Program Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak 2023 Peringkat Daerah Tawau yang diadakan di SK Wallace Bay, di sini, hari ini.
Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan memuji usaha yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan seperti Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak yang merupakan salah satu bentuk usaha dan inisiatif jabatan, menerusi Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK) Daerah Tawau dalam mengawal dan menyedarkan masyarakat, terutamanya kepada kanak-kanak betapa bahayanya jenayah seksual yang melibatkan alat media sosial.
Media sosial merupakan alat telekomunikasi yang paling ampuh dalam mempengaruhi seseorang bukan sahaja terhadap golongan orang dewasa malah terhadap golongan kanak-kanak itu sendiri, tambahnya.
“Jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak adalah satu bentuk jenayah yang melibatkan alat telekomunikasi ini yang mana kanak-kanak telah terdedah kepada jenayah melalui medium ini tanpa pengawasan ibu bapa kanak-kanak itu sendiri.
“Ibu bapa sepatutnya memainkan peranan yang amat penting dalam memantau pergerakan kanak-kanak terutama sekiranya kanak-kanak telah diberikan peralatan ini untuk kemudahan atau permainan mereka.
“Selain itu, semua pihak juga harus memainkan peranan sama bagi membantu masyarakat dan jabatan ini bagi menangani kes-kes seperti ini demi kepentingan generasi yang menjadi mangsa tersebut.
“Perlu diingat bahawa masa depan kanak-kanak ini sangat penting kerana mereka merupakan aset masa depan negara. Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak terutama kepada kanak-kanak seperti murid-murid sekalian, agar berpada-pada dalam menggunakan alat telekomunikasi ini, apatah lagi yang boleh akses media dengan mudah di mana saja.
“Saya ingin tekankan dan tegaskan, hidup ini hanyalah sementara maka gunakanlah hidup ini untuk beramal ibadah sebanyak-banyak kerana mati itu pasti dan kita tidak mahu menjadi orang yang menyesal tidak kesudahan kerana lalai dengan dunia terutamanya dengan alat media sosial yang sangat kuat pengaruhnya dalam melalaikan manusia,” katanya.
Terdahulu, Andi berkata, memberi perlindungan kepada kanak-kanak merupakan salah satu perkhidmatan Jabatan Kebajikan yang sedia ada dan sangat penting, sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.
Pada masa ini, katanya Dasar Perlindungan Kanak-Kanak ini menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.
“Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka. Ianya juga bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak,” jelasnya.
Katanya, antara objektif Dasar Perlindungan Kanak-Kanak ini adalah meningkatkan khidmat sokongan bagi menangani pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak dan bagi mencapai objektif tersebut, beberapa strategi dirangka berasaskan empat aspek utama iaitu advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan.
“Untuk konsep advokasi, dasar ini berperanan menerap dan memupuk kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab melindungi kanak-kanak kepada semua lapisan masyarakat termasuk mewujudkan perkongsian pintar dengan pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sektor swasta dan organisasi masyarakat. Pertubuhan NGO yang diwujudkan adalah seperti Pasukan Pelindung Kanak-kanak daerah di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu sendiri,” katanya.
Tururt hadir Guru Besar SK Wallace Bay, Haji Herman Kuraga; Pegawai Pembangunan Masyarakat Pejabat Kebajikan Bahagian Tawau, Sarina Hj Musa; Pengerusi Pasukan Pelindung Kanak-KanakDaerah Tawau, Hj Ahmad Dollah; AJK Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Daerah Tawau, Pegawai-pegawai dari Pejabat Kebajikan Bahagian Tawau; para penceramah dari IPD Polis Tawau, dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Cawagan Tawau dan dari ibupejabat JPKA Sabah.































