Dr. Joachim (empat dari kiri) bergambar kenangan di konti Sabah fm.
KOTA KINABALU: Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2021– 2022 akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) penghujung Oktober ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata majlis tersebut dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran rasmi ke-70 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
“Dijangkakan seramai 500 orang jemputan akan menghadiri majlis ini nanti terdiri daripada atlet-atlet negeri, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah Majlis Sukan Negeri, Ahli Lembaga Pengurus dan lain-lain individu yang terlibat secara langsung dalam sukan.

Dr. Joachim ketika ditemui media.
“Sebanyak 15 anugerah dipertandingkan dan sebagai penghargaan atas sumbangan para atlet mengharumkan nama Sabah di arena sukan.
“Dengan meletakkan penganugerahan ini dalam salah satu program sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Tuan Yang Terutama Tun akan memberi indikator kepada para atlet penghargaan kerajaan negeri atas usaha mereka selama ini,” katanya semasa ditemu bual Kami Bah Ini di Studio TV RTM Sabah.
Beliau yang jugaPengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan berharap, dengan adanya anugerah yang disampaikan kelak menyuntik semangat para atlet negeri untuk lebih maju pada masa hadapan.
Menurutnya, tetamu kehormat bagi majlis tersebut adalah Tun Juhar bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Sebanyak 14 program telah disusun atur sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi ke-70 Tun Juhar yang dimulai ProgramCharity Ride TYT Sabah 2023 anjuran Polis Kontinjen Sabah pada 22 hingga 23 Julai lalu.































