Simsudin (dua dari kiri) bersama warga Labuan semasa meninjau Program Jualan Rahmah
LABUAN: Warga Labuan yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang membeli beras import dengan harga yang lebih rendah dalam Program Jualan Rahmah.
Menurut Selmah Jumaan, 53 mengucapkan terima kasih kepada pihak peniaga yang menyertai program itu kerana memberi peluang kepada warga Labuan mendapatkan pelbagai barangan keperluan terutama beras pada harga yang lebih rendah.
“Terima kasih kepada pihak yang menyertai Program Jualan Rahmah kerana kami dapat menjimatkan perbelanjaan lebih-lebih lagi saya sebagai peniaga kecil yang menghadapi pelbagai cabaran seperti peningkatan kos bahan mentah seperti beras.
“Harga barangan pada Jualan Rahmah memang memuaskan dan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat Labuan,”tambahnya semasa ditemui media pada program itu di salah satu pasaraya di sini semalam.
Bagi Awang Damit Putih, 72 berharap warga Labuan tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan semasa Program Jualan Rahmah berlangsung.
“Saya menyeru orang-orang Labuan untuk membeli pelbagai barangan keperluan seperti beras, telur ayam dan gula di pasaraya-pasaraya yang menyertai program ini.
“Saya harap program ini dapat diteruskan dengan lebih kerap bagi membantu masyarakat khasnya bagi yang kurang berkemampuan,”katanya.
Nur Syafiraa Abu 22 turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang mengambil inisiatif menyenaraikan beras import sebagai salah satu barangan yang dijual dalam Program Jualan Rahmah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Madani kerana menganjurkan Jualan Rahmah lebih – lebih lagi ketika kenaikan harga beras import dan ini membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah kami.
“Saya harap lebih banyak peniaga yang akan menyertai program ini untuk membantu meringankan beban rakyat di pulau ini,”katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek yang membuat tinjauan pada program itu turut menarik nafas lega dengan penjualan beras import pada harga yang lebih rendah.
“Alhamdulillah kita dapat melihat rakyat berpeluang membeli beras import dengan harga RM 14.50 berbanding sekitar RM 22.00 bagi beras 5 kilogram dan RM 29.00 untuk beras 10 kilogram berbanding harga biasa iaitu sekitar RM 36.00.
“Saya percaya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan terus mengadakan Program Jualan Rahmah khasnya pada awal dan hujung bulan berdasarkan keperluan semasa,”jelasnya.































