Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran melibatkan sebuah Perodua Kancil di Kota Marudu.
KOTA MARUDU: Sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Mohd. Hasbi Hajat berkata, kejadian berlaku di Jalan Taiwan, pada kira-kira jam 3 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 3.05 pagi dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Dusin Sagaron bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak lima kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah Perodua Kancil terbakar 100 peratus.
“Tiada mangsa yang terlibat dilaporkan oleh Ketua Operasi. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan sumber air dari jentera,” katanya.
Menurut Hasbi, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.20 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 3.57 pagi.
Sementara itu, di KENINGAU, sebuah kenderaan jenis Proton Exora terbakar di Jambatan Liawan, pada kira-kira jam 7 pagi.
Ketua Balai BBP Keningau, PKPgB Shahrudy Delamin memberitahu, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 7.45 pagi dan sepasukan 12 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Norhasrita Abdul Manan dikejarkan ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian yang terletak tiga kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah Proton Exora terbakar 10 peratus di bahagian enjin.
“Tiada operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba kerana api sudah padam sebelum ketibaan di lokasi,” katanya.
Menurut Shahrudy, pasukan bomba hanya membuat pemeriksaan serta mengambil maklumat di lokasi kejadian.
Katanya operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.10 pagi.































