Hajiji memeriksa perbarisan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman Tahun 2023 di Dewan Sri Sulaman, Tuaran, hari ini.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yakin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan rakan komponen di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mempertahankan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, selain kerusi yang disandangnya, tiga kerusi lagi iaitu Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu diyakini kekal milik GRS atas kerjasama semua komponennya.
“Di Tuaran saya beri jaminan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu tetap milik GRS pada PRN akan datang. Kita sedia menghadapi apa juga cabaran dan bertarung dengan mana-mana parti yang menentang kita di Tuaran.
“Apa yang penting ialah kerjasama parti antara kita, jangan ada sabotaj antara kita. Kalau GRS sudah tentukan calon maka tugas kita Gagasan Rakyat untuk menangkan calon kita,” kata Presiden Gagasan Rakyat itu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman 2023 di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut menasihatkan perwakilan pada mesyuarat berkenaan dan rakan parti di keempat-empat DUN supaya sama-sama memastikan kemenangan berpihak kepada GRS.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, para pemimpin parti komponen GRS dan Pakatan Harapan Sabah serta Gagasan Rakyat Sabah.































