Masiung (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Ruddy.
PITAS: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu sentiasa bersiap siaga memulakan gerak kerja awal tanpa perlu menunggu saat akhir menjelang pilihan raya.
Naib Presidennya, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun tempoh pilihan raya masih berbaki lebih dua tahun namun jentera parti di semua peringkat perlu digerakkan awal terutama di peringkat bahagian.
“Sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis perlu kreatif mengadakan program bersama parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS),“ tegas beliau ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, di sini, kelmarin.
Masiung berkata, pilihan raya akan datang merupakan cabaran penting untuk tiga sayap utama itu mendekati golongan muda yang lebih banyak aset politik.

Masiung memalu gong sebagai perasmian mesyuarat agung tahunan Gagasan Rakyat Pitas sambil diperhatikan oleh Ruddy (dua dari kanan).
Katanya, sayap Pemuda dan Beliawanis perlu lebih agresif menarik minat anak muda menyertai aktiviti yang menarik minat mereka menjadi anggota politik.
“Usaha mendekati golongan muda perlu lebih kreatif dan bersepadu agar pendekatan berkesan dapat dilakukan.
“Hanya sayap Pemuda dan Beliawanis memahami dan dapat menyelami citarasa golongan muda ke arah mana minat mereka seperti kesenian, sukan, riadah atau majlis sosial,” tegasnya.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, dua sayap utama parti itu juga wajar mendedahkan ilmu dan kemahiran ekonomi kepada generasi belia.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Dato’ Sri Ruddy Awah, mahukan ketiga-tiga sayap parti itu menjalinkan hubungan kerjasama politik lebih rapat dengan parti-parti komponen lain dalam GRS.
Beliau turut mengumumkan pemberian geran RM20,000 kepada setiap sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis untuk melaksanakan aktiviti masing-masing.





























