Dr. Maximus (lima dari kanan), Pairin (tiga dari kanan), Dr. Joachim (enam dari kanan), Timbalan Presiden Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai (dua dari kanan) dan pemimpin lain semasa acara memotong kek pada Majlis Makan Malam Bersatu di Dewan Hongkod Koisaan malam ini.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan terus menjadi kuasa penting dalam arena politik Sabah dan memberi sumbangan kepada perkembangan dan kestabilan politik di negeri ini, kata Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Katanya, PBS merupakan salah satu parti politik tertua di negeri ini dan memainkan peranan yang signifikan dalam sejarah politik di Sabah dan negara secara keseluruhan.
“Kita mempunyai ahli akar umbi yang ramai dan memperoleh kepercayaan dan sokongan dari rakyat Sabah.
“Saya mengajak setiap ahli parti untuk terus berusaha, bersatu hati dan semangat, serta sentiasa bekerjasama tidak kira apa sahaja cabaran yang kita hadapi. Saling mendengar, menghormati, dan memberi sokongan kepada satu sama lain adalah kunci kepada kejayaan kita.
“Melalui perpaduan dan kesatuan di dalam parti ini, kita akan dapat memastikan suara rakyat Sabah didengar di semua peringkat pentadbiran. Kita, melalui PBS, boleh membawa perubahan positif kepada negeri ini dan fokuskan usaha ke arah pembangunan yang berkekalan.

“Dalam masa sama, kita semua juga perlu bekerjasama memperkukuhkan imej PBS sebagai pembela rakyat dan negeri Sabah. Kita perlu memanfaatkan media baharu dalam meningkatkan komunikasi dan menyampaikan suara serta nama parti kepada generasi muda. Generasi muda kini lebih cenderung kepada teknologi moden dan sebahagian daripada mereka bergantung kepada platform digital untuk mendapatkan maklumat dan terlibat dalam perbincangan politik.
“Kita perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan ini merupakan langkah yang sangat penting dalam dunia politik masa kini. Hal ini bukan sahaja penting untuk mencapai kumpulan sasaran kita di setiap bahagian dan cawangan, tetapi juga untuk meneruskan perjuangan kita serta memastikan bahawa aspirasi dan kepentingan seluruh rakyat Sabah terus didengar di seluruh pelusuk negara, terutama sekali Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Majlis Malam Bersatu PBS kali ke-38 di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, malam ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Dr. Maximus juga percaya kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), jika dilaksanakan dengan baik dan integriti, dapat membawa perubahan positif dan kemajuan bagi Sabah.
Katanya, penubuhan GRS telah membawa perubahan signifikan dalam landskap politik di Sabah.

Dr. Maximus menerima cenderahati daripada Naib Presiden PBS merangkap Penolong Bendahari Agung dan pengerusi penganjur Majlis Makan Malam Bersatu Hendrus Anding, sambil diperhatikan oleh Dr. Joachim, Timbalan Presiden Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan Naib Presiden Datuk Ruslan Muharam.
“GRS adalah kerjasama politik yang terdiri dari beberapa parti politik tempatan di Sabah, termasuk Parti Bersatu Sabah, dan ia dibentuk dengan tujuan untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri Sabah dan membentuk Kerajaan yang stabil di negeri ini. Terbukti melalui gabungan ini, GRS telah mencapai kemenangan dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan baru di negeri ini.
“Tumpuan utama kerjasama ini adalah untuk memajukan dan membangunkan negeri Sabah, termasuklah usaha mengukuhkan sektor ekonomi, menarik pelaburan, dan mencipta peluang pekerjaan di negeri ini.
“Namun, untuk mencapai semua ini, kita perlulah memelihara hubungan baik dengan rakan politik kita dalam komponen GRS. Saya percaya, dengan adanya kerjasama seumpama ini, dan jika dilaksanakan dengan baik dan integriti, kita dapat membawa perubahan positif dan kemajuan bagi negeri Sabah,” kata Dr. Maximus yang juga Timbalan Pengerusi GRS.
Sementara itu, beliau berkata, pemimpin khususnya, perlu memiliki kegigihan dan keteguhan dalam perjuangan.

Pairin menerima cenderahati daripada Naib Presiden PBS merangkap Penolong Bendahari Agung dan pengerusi penganjur Majlis Makan Malam Bersatu, Hendrus Anding, sambil diperhatikan oleh Dr. Maximus dan Dr. Joachim.
“Kita perlu menjadi teladan bagi generasi muda. Sebab itu, saya seringkali menggunakan slogan “Sabar, Setia, Bersatu” dimana kita perlu SABAR dalam mencapai kejayaan, SETIA kepada Parti Bersatu Sabah dan kerjasama diantara parti politik yang ada, dan BERSATU dalam memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
“Seorang pemimpin yang sabar membolehkannya menghadapi cabaran dengan bijak dan menunjukkan teladan dalam mengatasi pelbagai kesulitan. Kesetiaan membawa kepercayaan dan memperkuat hubungan antara pemimpin dan ahli-ahlinya dan juga masyarakat setempat. Kemampuan untuk bersatu dan bekerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat adalah kunci untuk mencapai matlamat bersama.
“Dengan sifat-sifat ini, kita akan menjadi seorang pemimpin yang berintegriti dan membina landasan yang kukuh demi kemajuan dan kejayaan bersama,” ujarnya.
Kongres PBS kali ke-38 berlangsung selama dua hari dengan Persidangan Induk Tahunannya akan diadakan esok, dirasmikan oleh Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.































