KUALA LUMPUR : Dua individu termasuk seorang bekas setiausaha politik ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah bagi meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
Kedua-duanya dipercayai ditahan kira-kira pukul 11 malam Jumaat ketika diminta hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut Utusan Malaysia, sumber berkata, suspek pertama ditahan berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan bersama suspek kedua yang juga pemilik syarikat berusia lewat 50-an.
Katanya, mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan tersebut sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.
“Rundingan berkenaan dibuat melalui syarikat milik suspek kedua,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.































