KOTA KINABALU: Sabah akan menyambut Hari Sabah pada 31 Ogos ini bagi memperingati hari ia menjadi negara merdeka 60 tahun lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kabinet Negeri membuat keputusan itu pada mesyuaratnya minggu lalu dan telah memilih Tambunan sebagai tuan rumah untuk sambutan julung kali ini.
“Kabinet juga telah memutuskan bahawa sambutan untuk menandakan peristiwa bersejarah penting Sabah akan disambut setiap tahun dengan tempatnya akan digilirkan di kalangan daerah,” kata Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji Haji Noor
“Marilah kita menghormati dan memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah British di Sabah dan menandakan perjalanan kita untuk bersatu sebagai rakyat untuk mewujudkan pemerintahan sendiri,” tambahnya.
Sabah kemudiannya membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.
Hajiji berkata, acara di Tambunan itu dijadualkan pada pukul 3 petang selepas sambutan Hari Kebangsaan di sini.































