Alexander (kanan) bertanyakan sesuatu mengenai Pakej Kerja WP04.
PAPAR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turun padang meninjau sendiri pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah; Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta Pembantu-pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik.
Alexander yang tiba jam 11.30 pagi di Benoni Commercial Center (BCC) dekat sini, pada Ahad, sempat meninjau Pakej Kerja WP04 bagi menaik taraf jalan dari Bongawan ke Papar yang kini mencapai status kemajuan 81.79 peratus iaitu 2.63 peratus lebih cepat berbanding kemajuan yang dijadualkan.
Menurut beliau, secara dasar, Pakej Kerja 04 (WP04) nerangkumi pembinaan empat lorong dua hala menepati standard JKR R5 dari Bongawan ke BCC di Papar sepanjang 22.6km dari CH 85+125 ke CH 107+725.
“Projek ini membabitkan kerja menaik taraf daripada Jalan persekutuan sedia ada daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala sepanjang 6.8km dari Bongawan yang merentasi tiga batang sungai iaitu Sg. Bongawan, Sg. Nyaris-Nyaris dan Sg. Mandahan sebelum keluar dari jalan sedia ada seterusnya menghala ke timur dan memasuki jalan pintasan (Bypass Road) sepanjang 13.6km.
“Lebuhraya ini seterusnya akan menghala ke arah utara, merentasi persimpangan bertingkat No.1 di Jalan Keningau-Kimanis dan menyeberangi dua batang sungai iaitu Sg. Kelatuan dan Sg. Benoni, sebelum jajaran ini kembali ke jalan sedia ada (Jalan Papar-Beaufort) di mana kerja menaik taraf ke empat lorong dua hala diteruskan sepanjang 2.2km dan tamat dengan persimpangan bertingkat No.2 di Benoni Commercial Center,” katanya.
Selain memantau prestasi pembinaan Projek LPB Sabah Fasa 1A dan projek Jalan Persekutuan, lawatan kerja berkenaan turut bertujuan meninjau program penyenggaraan Jalan Persekutuan.
Dalam masa yang sama, program tersebut turut melihat lokasi-lokasi yang bakal ditelusuri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Jelajah Kembara Borneo yang dijadualkan bermula di Sabah pada awal September ini.































